PIALA DUNIA

Piala Dunia Qatar: FPF nafi Cristiano Ronaldo ancam tinggalkan kem Portugal

Shaiful Shamsudin 08/12/2022 | 12:56 MYT
Cristiano Ronaldo sama sekali tidak mengeluarkan ancaman untuk meninggalkan kem Portugal dalam Piala Dunia di Qatar berikutan berselisih faham dengan ketua jurulatih, Fernando Santos.
Persekutuan Bola Sepak Portugis (FPF) tampil menyangkal laporan bahawa Ronaldo mengugut akan meninggalkan skuad kebangsaan berikutan keputusan Santos yang meletakkannya di bangku simpanan ketika menentang Switzerland dalam pusingan 16.
Portugal menang bergaya 6-1, kelmarin, yang menyaksikan Ronaldo masuk sebagai pemain gantian dan jaringannya dibatalkan kerana ofsaid.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi, FPF menegaskan tidak timbul sebarang isu di antara pemain berusia 37 tahun itu dan Santos.
“Berita yang dikeluarkan hari ini melaporkan bahawa Ronaldo telah mengancam Fernando Santos untuk meninggalkan pasukan kebangsaan,” menurut kenyataan itu.
“FPF menjelaskan bahawa kapten Selecao, Ronaldo, tidak pernah mengancam untuk meninggalkan pasukan kebangsaan sepanjang berada di Qatar.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
“Setiap hari Ronaldo membina rekod prestasi yang unik berhubung khidmatnya dengan pasukan kebangsaan dan negara, ia harus dihormati dan ia membuktikan tahap komitmennya terhadap pasukan kebangsaan yang tidak wajar dipertikaikan lagi.
"Kebetulan pula, sekali lagi tahap dedikasi pemain yang mempunyai penampilan terbanyak untuk Portugal ini ditonjolkan -- jika perlu -- dalam kemenangan menentang Switzerland."
Pemain yang mengambil peranan Ronaldo untuk menerajui jentera serangan ketika membenam Switzerland, Goncalo Ramos, meledak hatrik selain Portugal turut beraksi cemerlang tanpa ketua pasukan mereka itu dalam kesebelasan utama.
Justeru, Santos hampir pasti tidak akan mempertaruhkan bekas penyerang Manchester United, Real Madrid dan Juventus itu dalam percaturan awalnya ketika berdepan Maghribi, Sabtu ini.
;