Piala Dunia Qatar: Croatia rayu Luka Modric tangguh persaraan
Shaiful Shamsudin
Disember 15, 2022 09:47 MYT
Disember 15, 2022 09:47 MYT
Persaraan Luka Modric di pentas antarabangsa akan menjadi satu kisah menyedihkan buat peminat bola sepak, kata ketua jurulatih Croatia, Zlatko Dalic, yang menaruh harapan pemain tengah itu akan kekal bersama pasukannya.
Modric memenangi Ballon d'Or selepas membawa Croatia ke final Piala Dunia di Russia empat tahun lalu, dan bintang Real Madrid itu sekali lagi menikmati kejohanan hebat ketika memacu anak buah Dalic tersebut mara ke separuh akhir di Qatar.
Bagaimanapun, Kehadiran pemain berusia 37 tahun itu belum cukup memberi inspirasi kepada pasukannya untuk mengatasi Argentina semalam, secara tidak langsung membangkitkan persoalan mengenai karier antarabangsanya.
Modric enggan mengulas sebarang komen mengenai masa depannya selepas kekalahan itu, tetapi Dalic berharap kaptennya masih lagi boleh dipertaruhkan selepas perlawanan merebut tempat ketiga, Sabtu ini.
"Dia sangat kecewa semalam, kekalahan dan perlawanan itu adalah sukar untuknya," kata Dalic kepada pemberita.
#FIFAWorldCup Legend ❤️ pic.twitter.com/ykrHdPOcvI
— FIFA World Cup (@FIFAWorldCup) December 13, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
“Adalah logik dia berasakan begitu, ia amat sukar buatnya.
"Tumpuan kami adalah kepada perlawanan Sabtu ini, kami tidak bercakap tentang persaraan. Kami perlu bersedia untuk perlawanan itu.
"Saya harap dia akan kekal dalam pasukan kebangsaan. Sudah tentu, dia sendiri yang akan menentukannya. Kami ada satu lagi perlawanan Sabtu ini dan kami akan bercakap selepas itu.
"Jika Luka mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan kebangsaan, ia akan menjadi satu kesedihan dan kekesalan buat peminat di seluruh seluruh dunia. Dia telah mempamerkan banyak permainan yang bagus tetapi dia juga terbukti sebagai seorang pemain profesional yang terbaik.
"Baik menang mahupun kalah, dia berkelakuan seperti seorang profesional sejati. Ia sukar untuknya dan dia sendiri yang akan memutuskannya.
"Ia akan menjadi sukar buat saya juga andai dia memutuskan sebaliknya. Seluruh dunia menghormati Modric. Alangkah baiknya jika dia boleh mewakili kami."