Skip to main content

Bola Sepak

Piala Dunia Kelab: Ibarat langit dan bumi, PSG mara ke final bantai Real Madrid sampai lumat

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

psg.jpg
Tugas pertama Xabi Alonso selaku ketua jurulatih baharu Real Madrid tamat di peringkat separuh akhir Piala Dunia Kelab selepas ditewaskan oleh juara Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG), awal pagi tadi. 

Johan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) itu dalam landasan terbaik untuk membolot satu lagi kejuaraan berprestij susulan mara ke final dengan kemenangan besar ke atas Los Blancos 4-0.

Kelab LaLiga itu kempunan memperbaiki prestasi musim ini apabila gagal dalam beberapa kejohanan utama.

Dalam masa 10 minit, Thibaut Courtois dibolosi sebanyak dua gol oleh Fabian Ruiz dan bekas penyerang Barcelona, Ousmane Dembele, sekali gus melenyapkan harapan peminat Real Madrid. 

Pasukan bimbingan Luis Enrique itu tidak berhenti melancarkan serangan, dan hasilnya Fabian Ruiz sekali lagi memberi mimpi ngeri kepada Madrid pada minit ke-24.

 

Pemain kebangsaan Portugal, Goncalo Ramos, melengkapkan hari gemilang PSG dengan jaringan keempat untuk pasukan itu mara ke final buat kali pertama dalam sejarah. 

Menanti PSG di final Piala Dunia Kelab 2025 nanti adalah jaguh England, Chelsea yang berjaya menewaskan kelab Brazil, Fluminense dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Untuk rekod, selepas membelasah Real Madrid 4-0, PSG turut melakar kejayaan besar menumpaskan Atletico Madrid 4-0, Inter Milan 5-0 dan Bayern Munich 2-0. 

Bukti bahawa PSG boleh berdepan sesiapa sahaja sebagai satu pasukan terkuat di dunia ketika ini.

Advertisement

Must Watch Video