Piala Dunia Kelab: Fluminense tak mampu gugat Manchester City
Shaiful Shamsudin
Disember 23, 2023 08:36 MYT
Disember 23, 2023 08:36 MYT
MAN CITY 4 FLUMINENSE 0
Pep Guardiola cukup berbangga dengan pencapaian Manchester City yang membelasah Fluminense 4-0 untuk memenangi Piala Dunia Kelab buat julung kalinya, awal pagi tadi.
Ia merupakan trofi kelima kelab itu sepanjang tahun ini bagi menyusuli kejayaan mereka menjulang Liga Juara-Juara (UCL), Liga Perdana Inggeris (EPL), Piala FA dan Piala Super Eropah.
Julian Alvarez memulakan pesta gol mereka selepas hanya 40 saat permainan dan mencipta satu lagi gerakan buat jaringan Phil Foden dan kemudian melengkapkan kemenangan berat sebelah itu di penghujung perlawanan.
Justeru, pengurus City itu yang pernah memenangi pertandingan berkenaan sebanyak tiga kali, memberitahu laman sesawang kelab: “Saya sangat bangga dengan kelab ini. Apa yang telah kami lakukan adalah satu pencapaian yang cemerlang.
Your 2023 #ClubWC champions! ?? pic.twitter.com/KUKnHaoubz
— Manchester City (@ManCity) December 22, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
“Untuk memenangi trofi ini bermakna kami perlu menjadi pasukan terbaik di dunia. Barisan pemain, jurulatih, kakitangan di belakang tadbir kesemuanya bekerja keras pada setiap hari untuk memastikan kejayaan ini buat kami.
“Sebagai pengurus, apa yang paling saya banggakan (ialah) kami sentiasa berjuang. Tidak kira berapa banyak yang kami menang, tidak kira apa trofi yang kami sudah angkat, sekali lagi kami berada di pentas akhir untuk perjuangan yang seterusnya.
“Untuk memenangi 'treble' adalah benar-benar istimewa tetapi untuk memenangi dua lagi trofi dan kini memegang lima gelaran utama ini membuktikan mentaliti unik pasukan ini, kelab dan peminatnya.
“Ia sesuatu yang belum pernah dicapai oleh kelab Inggeris yang lain dan kami akan sentiasa mengingati detik luar biasa yang kami habiskan bersama ini.”