PIALA MALAYSIA

Piala Cabaran: Serangan balas ATM perangkap lawan

Penulis Jemputan 13/09/2018 | 04:27 MYT
Pemangku jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Suhaimi Ishak, lega percaturan taktikalnya menjadi apabila The Gladiators melakar kemenangan 1-0 ke atas UiTM FC dalam perlawanan Piala Cabaran di Stadium Selayang, petang semalam.
Skuad ATM turun berdepan UiTM dengan misi memburu tiga mata penuh untuk mengukuhkan kedudukan dalam Kumpulan B.
Ia juga bagi menebus kekalahan 0-2 dalam pertemuan pertama di tempat lawan pada 15 Ogos lalu.
Menampilkan taktikal serangan balas pantas, gol yang dinantikan hanya berkunjung pada minit ke-88 apabila hantaran Paulus Anak Legan disudahkan Raja Ridzuwan Efendy untuk gol tunggal perlawanan.
"Saya menerapkan permainan serangan balas.
"Kami kekurangan daripada segi tenaga import, Alhamdulillah taktikal ini menjadi," kata Suhaimi.
Kekalahan itu menyaksikan langkah UiTM dalam kejohanan ini tersekat biarpun saingan masih berbaki satu perlawanan.
Kecewa dengan kekalahan itu, pemangku jurulatih UiTM, Reduan Abdullah, menyerahkan kepada pihak pengurusan untuk membuat keputusan mengenai masa depannya.
"Sebagai pemangku jurulatih untuk pasukan ini, pengurusan akan membuat keputusan yang lebih tepat buat saya dan UiTM," kata Reduan.
;