PIALA BELIA
Piala Belia: Selangor juara, JDT seru FAM tiru 'kuasa besar'
Ketua jurulatih Selangor B-18, Khushairi Wahab, berpuas hati dengan persembahan anak buahnya yang mempertahankan kejuaraan selepas menewaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) IV 3-2 untuk keputusan agregat 4-3.
Perlawanan mendebarkan di Stadium UiTM, Shah Alam, malam tadi itu menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas gol ke masa penamat.
Naim Zainudin meletakkan JDT IV di depan seawal minit ke-5 sebelum jaringan penyamaan Adam Haikal Azizol terhasil pada minit ke-58. Bagaimanapun, tiga jaringan lagi diledakkan dalam tempoh empat minit menerusi penyudah Amirul Izwan Rusdi untuk Selangor (m-82) yang dipadamkan oleh Danish Hakimi Sahaludin (m-85).
Iklan
Namun, Ahmad Ariz Zuhayr Nor Zaidi menjadi wira wakil dari Lembah Klang itu dengan mencetak gol kemenangan ketika berbaki seminit sebelum masa kecederaan.
"Perasaan saya bercampur-baur kerana dibolosi gol macam itu.
"Kami perlu bangkit dalam separuh masa kedua termasuk sekali lagi perlu mengejak kedudukan berikutan peraturan gol lawan.
"Apabila mendahului, saya berpesan kepada pemain kerana perlu menguasai bola bagi tidak membazirkan tenaga.
"Memang ia corak permainan yang kami cuba terapkan. Sebenarnya terpulang kepada semangat pemain itu sendiri sama ada mereka mahu meneruskan perjuangan atau tidak," katanya.
Lain pula reaksi yang ditunjukkan oleh JDT IV, Juan Miguel, yang berpandangan pendedahan akar umbi perlu dikaji semula pada masa akan datang.
Pengendali dari Sepanyol itu menyarankan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) boleh menggunakan pendekatan kuasa besar bola sepak untuk menggilap pemain-pemain muda.
"Ada perkara yang perlu diubah. Tidak boleh sekadar mengadakan 17 perlawanan sahaja menuju ke final.
"Ia tidak bagus untuk pemain-pemain. Mereka perlu beraksi dalam 30 hingga 34 perlawanan (semusim) yang menjadi amalan di Sepanyol, Itali, Brazil dan Argentina.
"Sudah tentu pertandingan ini bagus dengan adanya persaingan daripada JDT, Selangor dan Terengganu tetapi mengapa tidak melakukan perubahan demi kebaikan," katanya pula.
Must-Watch Video