Skip to main content

Bola Sepak

Piala Asia: Tuah disiplin bawa Naga Emas ke pusingan 16

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

vietnam.jpg
Vietnam dan Lubnan menamatkan saingan peringkat kumpulan Piala Asia 2019 dengan mata dan perbezaan jaringan yang sama. Namun, skuad Naga Emas itu lebih layak ke peringkat kalah mati berdasarkan faktor disiplin. 

Vietnam, yang masih segar bergelar juara Piala AFF 2018 bulan lalu, mengakhiri kempen peringkat kumpulan dengan kemenangan 2-0 ke atas Yaman untuk meletakkan mereka di tangga ketiga Kumpulan D di belakang Iran dan Iraq menerusi tiga mata dengan rekod perbezaan gol bolos sekali.

Untuk rekod, wakil Asia Tenggara itu mengumpul empat gol dan bolos lima kali.

Lubnan, yang turut mengakhiri peringkat kumpulan dengan statistik yang sama setelah meraih kemenangan 4-1 ke atas Korea Utara dalam perlawanan terakhir kumpulan E awal pagi tadi, telah memperbaiki catatan perbezaan jaringan mereka daripada bolos empat kepada satu.

Oleh itu, Lubnan merekodkan empat jaringan, dibolosi lima gol untuk mengumpul tiga mata.

Bagaimanapun, dengan Bahrain, Kyrgyzstan dan Oman sudah pun mengesahkan tempat sebagai tiga pasukan terbaik antara pasukan di tangga ketiga peringkat kumpulan, slot terakhir yang menjadi rebutan di antara Vietnam dan Lubnan, telah ditentukan berdasarkan rekod disiplin.

Vietnam mengumpul lima kad kuning sepanjang aksi peringkat kumpulan, iaitu dua daripadanya ketika menentang Iraq manakala dua lagi ketika bertemu Iran dan selebihnya bertemu Yaman.

Sebaliknya, Lubnan mengumpulkan tujuh kad kuning dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan, iaitu dua kad kuning dilayangkan ketika berdepan Qatar, tiga lagi ketika bertemu dengan Arab Saudi dan selebihnya dua lagi amaran dikutip ketika menentang Korea Utara. 

Justeru, Vietnam akhirnya melayakkan diri ke peringkat kalah mati Piala Asia 2019 berdasarkan format disiplin pertandingan.
 
UNDIAN PERTEMUAN PUSINGAN 16:
JORDAN LWN VIETNAM
THAILAND LWN CHINA
IRAN LWN OMAN
JEPUN LWN ARAB SAUDI
AUSTRALIA LWN UZBEKISTAN
UAE LWN KYRGYZSTAN
KOREA SELATAN LWN BAHRAIN
QATAR LWN IRAQ

Advertisement

Must Watch Video