Piala Asia: Syria sah jadi lawan aksi persahabatan, tapi tetap tidak cukup?
Zaki Zainal
Disember 27, 2023 20:26 MYT
Disember 27, 2023 20:26 MYT
Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon sahkan satu aksi persahabatan berdepan syria namun ia belum cukup buat pasukannya dalam persiapan saingan Piala Asia Qatar 2023.
Turut akui keputusan Arab Saudi membatalkan aksi persahabatan pada saat akhir nyata menjejaskan perancangannya memandangkan bukan mudah untuk cari pengganti dalam tempoh yang singkat.
Setakat ini, malaysia dijadual bertemu syria pada 8 januari ini di Doha sebelum sepak mula kempen Kumpulan E bertemu Jordan pada 15 Januari di Stadium Al Janoub.
Ketika ditemu bual oleh wartawan Astro Arena Fadhirul Shuhaimi, Pan Gon menyatakan,"Kita akan usaha mencari solusi bagaimana untuk adakan perlawanan persahabatan dan ketika ini kita sedang mencari pasukan yang boleh bersama-sama kita, ada satu-dua dalam perancangan dan kita usaha yang terbaik ke arah itu."
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, memaklumkan pihaknya sedang berusaha mencari pengganti Arab Saudi meskipun dilihat sukar.
Beliau beri bayangan, kemungkinan besar, Malaysia bakal diuji sebuah pasukan berstatus kelab di Doha.
Hamidin berkata, "Perancangan dari Coach Kim Pan Gon, telah pasti akan lawan Syria pada 8 haribulan nanti tapi ianya buka dalam kalendar FIFA, kalendar FIFA kena sebelum 5 haribulan tapi mesyuarat saya dengan Coach Kim Pan Gon sebentar tadi mungkin akan cuba lawan satu kelab bila kita sampai awal,"
"Kerana pasukan akan pergi 1 Januari pagi dan kalau dapat 4 Januari kita lawan satu kelab, pemain yang kita pilih ini nanti adalah antara yang terbaik,"
"Mungkin ada satu-dua yang terlepas asbab kecederaan, sudah tentu kita punya harapan kalau kita dapat masuk Pusingan 16 itu cukup baik, tapi kita perlu berpijak di bumi nyata bahawa pasukan yang bertanding ini, 24 ini adalah yang terbaik,"
"Jordan saya ingat ranking ke 73 atau 72 dengan Oman mereka sangat dekat dan Syria 80 lebih jadi dua pertandingan awla ini cukup mustahak untuk kita dapatkan mata dan kalau dapat kita layak ke Pusingan 16 itu satu pencapaian yang bagus."