Piala Asia: Shahrul Saad sedia diturunkan jumpa Bahrain
Muzaffar Musa
Januari 17, 2024 21:10 MYT
Januari 17, 2024 21:10 MYT
Pertahanan negara, Shahrul Saad, sedia diturunkan dalam aksi kedua Kumpulan E, Piala Asia Qatar menentang Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad pada Sabtu ini.
Shahrul dimasukkan sebagai pemain gantian dalam babak kedua ketika Harimau Malaya tewas 0-4 di tangan Bahrain dalam aksi pertama di Stadium Al-Janoub awal pagi semalam.
Mengakui kecewa dengan keputusan itu, pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) berkenaan bersedia mempamerkan aksi terbaik sekiranya diturunkan Kim Pan-gon menentang Bahrain.
Dalam satu wawancara bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, dia berkata: "Sudah pasti kekalahan pertama itu agak mengecewakan buat pasukan kerana sudah lama kami menjalani persiapan dan mengharapkan satu persembahan dan keputusan yang baik menentang Jordan.
"Kami kalah bukan kerana tidak beraksi baik cuma pasukan Jordan lebih bersedia dan tahu menggunakan kelemahan yang ada pada pasukan Malaysia.
"Apapun, kami perlu kekal positif dalam baki dua perlawanan ini, tiada jalan lain buat kami dan perlawanan menentang Bahrain amat penting buat kami.
"Kami mengharapkan keputusan yang baik untuk bertahan dalam pertandingan ini.
"Kemenangan adalah perkara utama buat diri saya kerana kami tahu sudah lama kita berusaha untuk sampai ke tahap ini.
"Apabila berada di sini, kami tidak mahu mensia-siakan peluang yang ada.
"Jika diberikan peluang untuk bermain, sudah pasti saya akan memberikan yang terbaik dan kami akan berjuang untuk negara Malaysia," katanya.