Piala Asia Qatar: Romel Morales, Sikh Izhan sedia galas tanggungjawab
Zaki Zainal
Disember 27, 2023 20:20 MYT
Disember 27, 2023 20:20 MYT
Sejurus menjadi pemain naturalisasi dan dipanggil dalam kem latihan pusat skuad kebangsaan menjelang kempen Piala Asia Januari 2024 -- Romel Morales nyata tidak sangka bakal sarung jersi Harimau Malaya!
Baginya perkara ini adalah satu agenda penting bagi dirinya selain harap mampu galas tanggungjawab besar ini dalam hadapi cabaran gergasi asia di pentas cukup berprestij itu.
Menurutnya lagi, semangat untuk membuktikan kemampuan diri di atas padang cukup membara selepas melihat barisan pemain lain bertungkus lumus dalam merebut slot dalam kesebelasan terbaik negara
Dalam Nadi Arena, Morales menyatakan, "Sudah pasti ini bukan sesuatu yang mudah tetapi bagi saya negara ini adalah sangat istimewa, saya merasakan saya adalah sebahagian dari negara ini.
"Saya punya banyak pengalaman yang saya lalu dalam negara ini, dan dalam masa enam tahun saya luangkan banyak masa dalam negara ini dan pastinya negara ini sangat istimewa untuk saya.
"Dan bila mana saya dapat peluang ini, saya ambil peluang ini sebaiknya dan saya syukur saya berada di sini sekarang."
Sementara itu, penjaga gol muda negara, Sikh Izhan sedar ia bukan jalan mudah buatnya kerana menganggap kualiti dimiliki penjaga gol utama, Syihan Hazmi sukar untuk diatasi namun beliau tetap berharap pengalaman dan dedikasinya mampu tambat hati Kim Pan Gon dalam aksi pembuka tirai Piala Asia pada 16 Januari ini..
Sikh Izhan juga berkongsi mengenai dirinya, "Bagi saya, saya tahu Syihan penjaga gol nombor satu jadi saya rasa tiada apa-apa tekanan untuk saya, di bahagian penjaga gol semua yang terbaik,"
"Jadi untuk ke Piala Asia saya sebagai pemain simpanan untuk penjaga gol saya harap kalau diberi peluang untuk bermain saya buat yang terbaiklah. Ini salah satu pengalaman yang berharga untuk saya."