Piala Asia Qatar: FAM cabar Harimau Malaya mara pusingan 16
Ammar Hakim
Disember 28, 2023 10:22 MYT
Disember 28, 2023 10:22 MYT
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menaruh harapan agar skuad Harimau Malaya dapat mara ke pusingan 16 terbaik dalam aksi Piala Asia di Doha, Qatar yang akan bermula 12 Januari ini.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin percaya harapan itu tetap ada biarpun skuad kendalian Kim Pan-gon akan berdepan cabaran besar bertemu Jordan, Bahrain dan Korea Selatan.
“Sudah tentu harapan jika dapat masuk pusingan 16 itu sudah cukup baik. Tetapi kita kena berpijak di bumi nyata kerana 24 pasukan yang bertanding ini adalah yang terbaik.
“Dua perlawanan awal dalam peringkat kumpulan ini sangat penting untuk sekurangnya kita dapat mata.
"Kalau dapat layak ke pusingan 16 satu pencapaian yang bagus,” katanya.
Hamidin sentiasa berpesan kepada para pemain Harimau Malaya untuk tidak takut dengan kemampuan pasukan lawan selain memastikan keadaan pasukan pada tahap terbaik dalam setiap perlawanan.
“Sudah tentu Pan-gon bergerak ke arah itu (ke pusingan 16 terbaik). Kita (FAM) juga berusaha ke arah itu.
"Setiap kali saya katakan kepada coach Kim dan pemain yang penting adalah keadaan pasukan.
“Pasukan kita perlu berada dalam keadaan terbaik dan apabila pemain diturunkan dalam mood dan persembahan yang tinggi. Kalau itu terjadi, harapan cerah untuk kita mara ke pusingan 16,” katanya.
Dalam pada itu, Hamidin berkata, FAM akan terus berusaha untuk mencari pasukan lain sebagai pengganti kepada Arab Saudi dalam perlawanan persahabatan sebelum tirai Piala Asia dibuka.
“Kita telah sah menentang Syria pada 8 Januari. Tetapi, itu bukan dalam kalendar FIFA. Kita akan cuba lawan satu kelab di Doha apabila kita sampai awal nanti.
“Skuad negara akan bertolak 1 Januari pagi dan kalau dapat mungkin lawan satu kelab pada 4 Januari,” katanya.-Sinar Harian
Undi Best of 2023 di sini! #Bestof2023