Skuad Garuda mencipta kejutan ketika berjaya menempah slot di pusingan kalah mati Piala Asia Qatar 2023 setelah muncul antara tiga pasukan terbaik kumpulan D dengan juara edisi 2015, Australia gah di takhta kumpulan.
Tonggak pertahanan berusia 22 tahun itu, yang beraksi dalam semua perlawanan peringkat kumpulan Indonesia percaya pasukannya mampu mengecewakan The Socceroos.
"Persediaan kami berdepan Australia sangat rapi dan teliti. Pasukan bertungkus-lumus mendedikasikan sepenuh masa dan usaha setimpal demi memastikan setiap aspek permainan kami diperhalusi menjelang perlawanan," kata Arhan.
"Peluang bermain dalam Pusingan 16 terbaik amat bermakna buat Indonesia dan para pemain berusaha keras untuk mempamerkan aksi terbaik. Kami sedar ia sukar tetapi kami akan mencuba yang terbaik"
"Di bawah bimbingan ketua jurulatih Shin Tae-yong, kami berjaya menafikan Vietnam buat pertama kali dalam tempoh tujuh tahun. Selain itu, Skuad Garuda turut mempamerkan konsistensi dengan mencetak gol dalam setiap perlawanan kumpulan."
Sejak pertemuan mereka pada tahun 1967, Australia hanya tewas sekali kepada pasukan Asia Tenggara -- kekalahan 1-0 dalam Kelayakan Piala Dunia FIFA 1982. Arhan yang baru-baru ini menandatangani kontrak bersama pasukan Liga K1, Suwon FC menganggap Indonesia perlu melakukan sesuatu.
"Barisan kejurulatihan telah bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk menganalisis kekuatan dan kelemahan Australia, merangka strategi terbaik agar kelebihan memihak kami"
"Kami turut menjalani sesi latihan yang padat demi meningkatkan kemahiran dan tahap kecergasan kami, dan kami akan lakukan apa sahaja untuk pastikan kecemerlangan di atas padang."
Sabrina Mustaffa
Sun Jan 28 2024