Piala Asia: Kami datang bukan untuk kalah, kata Kim Pan-gon
Shaiful Shamsudin
Januari 19, 2024 17:12 MYT
Januari 19, 2024 17:12 MYT
Harimau Malaya tidak melatah dan cepat menukar falsafah permainan dengan serta-merta biarpun tersentak dibelasah 0-4 kepada Jordan dalam perlawanan pembuka Kumpulan E, Piala Asia Isnin lalu.
Barisan negara kelihatan gugup dalam separuh masa pertama di Stadium Al-Janoub itu hingga dibolosi 0-3 yang secara tidak langsung menjejaskan moral bukan sahaja pasukan di Qatar, malah peminat di tanah air.
"Kami telah melihat semula perlawanan lalu untuk memperbaiki sesuatu. Kami meluangkan masa untuk pulihkan fizikal, mental termasuk psikologi.
"Saya jalani persediaan sejak semalam dan kami telah sembuh daripada perlawanan lalu dan bersedia untuk pertemuan esok.
"Kebiasaannya, apabila tewas dalam perlawanan dengan keputusan besar, pemain malah saya sebagai jurulatih kecewa kerana ia bukan seperti yang dijangkakan. Inilah bola sepak.
"Kami tidak mungkin akan memenangi setiap perlawanan. Adakalanya kami berdepan situasi sebegini tapi kami sudah terbiasa.
"Kami tahu untuk mengawal diri. Pemain saya sangat matang dan profesional dan tahu mengawal situasi sebegini.
"Mentaliti rakyat Malaysia sangat kuat dan sentiasa berjuang dalam keadaan begini maka saya percaya pemain akan bangkit dan membuktikan bahawa mereka mempunyai kekuatan mental," katanya dalam sidang media perlawanan sebentar tadi.
Kesebelasan utama yang diterapkan Kim Pan-gon mengundang tanda tanya dalam kalangan peminat sukan yang menuntut ketua jurulatih pasukan kebabngsaan itu agar tidak lagi bereksperimen dalam misi menghidupkan peluang melepasi peringkat kumpulan apabila berdepan Bahrain, malam esok.
"Kami tidak datang untuk seri mahupun kalah.
"Perlawanan esok sangat getir, sangat penting buat kami,
"Sekalipun bertemu bertemu Republik Korea, kami mahu menang. Walaupun ada jurang, pasti ada jalan untuk menang. Kami hanya menyasarkan kemenangan.
"Dalam tempoh dua tahun ini, kami kerap bertemu pasukan setaraf seperti Bahrain termasuk China, Syria, India dan Turkmenistan.
"Kami kalah atau seri, kami tetap dengan corak permainan yang sama.
"Jadi kepada persoalkannya sekarang. Inilah corak permainan Malaysia. Kami berikan 10-0, 4-0, 5-0, 4-2, 5-3. Banyak keputusan (besar) seperti ini.
"Kami akan kekalkan rentak yang sama. Kami mahu mendominasi dan buat lawan bergelut," katanya lagi.