Piala Asia: Itu taktikal Pan-gon
Disember 21, 2023 17:57 MYT
Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon, mempunyai taktikal tersendiri di sebalik memilih beberapa pemain yang 'tidak kena' dengan selera penyokong Harimau Malaya.
Pemerhati bola sepak negara, Datuk Richard Scully, berkata Pan-gon sudah masak dengan situasi dalam pasukan negara dan percaya sudah membuat penelitian terperinci sebelum membuat keputusan memanggil pemain untuk aksi Piala Asia 2023 di Qatar pada bulan depan.
Menurut Richard, dia memahami keprihatinan penyokong bola sepak negara yang mahukan skuad terbaik dibawa ke Piala Asia, namun menegaskan Pan-gon tahu apa yang terbaik untuk Harimau Malaya.
“Bagi kami sebagai penganalisis juga pada mulanya pelik kenapa dia (Insa) dipanggil tetapi selepas membuat analisis, itu adalah sebahagian taktikal Pan-gon.
“Pemain seperti Natxo Insa mungkin hanya akan masuk dalam 10 minit terakhir dan tugas dia adalah untuk mengucar-ngacirkan kaki-kaki lawan yang telah letih.
“Dia (Pan-gon) memerlakukan seorang pemain memiliki fizikal selain pengalaman tinggi untuk bermain menentang pasukan hebat di Piala Asia. Dia akan mengunakan setiap cebisan yang ada untuk menjadi gambaran keseluruhan dalam memperkukuhkan pasukan," katanya.
Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengeluarkan senarai 26 pemain yang akan menyertai kem latihan pusat bagi menghadapi Piala Asia 2023 di Qatar pada bulan depan.
Namun, beberapa nama seperti pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Insa dan Mohamadou Sumareh, serta pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimie Piee, menimbulkan perdebatan dalam kalangan penyokong yang mempertikaikan pemilihan pemain tersebut, yang tidak mempunyai banyak minit permainan bersama kelab.
Malah, Pan-gon juga membuat keputusan untuk meletakkan pemain pertahanan JDT, Muhamad Feroz Baharudin, dan penjaga gol Terengganu FC, Mohd Suhaimi Husin, dalam senarai bersedia walaupun kedua-dua pemain itu menunjukkan persembahan yang baik dalam saingan Liga Malaysia.
Dalam pada itu, Richard percaya Harimau Malaya akan mampu memberikan cabaran kepada semua pasukan gergasi dalam Kumpulan E dalam Piala Asia.
“Senarai pemain yang dikeluarkan Pan-gon itu nyata membariskan pemain terbaik dimiliki negara. Berdasarkan prestasi Harimau Malaya sepanjang tahun ini, saya yakin mereka mampu memberikan cabaran.
“Malah, Harimau Malaya juga sudah mendapat perhatian beberapa pasukan besar dengan Arab Saudi juga seolah-olah takut untuk berdepan skuad negara. Itu menunjukkan kualiti yang ada pada pasukan negara," katanya.
Skuad kendalian Pan-gon itu akan terlebih dahulu menghadapi perlawanan persahabatan menentang Syria pada 8 Januari di Qatar sebelum mengharungi perlawanan pertama Piala Asia bertemu Jordan pada 15 Januari.
Malaysia kemudiannya akan berdepan Bahrain pada 20 Januari sebelum aksi terakhir kumpulan bertemu Korea Selatan lima hari kemudian.
--Sinar Harian