Piala Asia: FIFA senarai Arif Aiman antara lima pemain perlu diberi tumpuan

Muzaffar Musa
Disember 14, 2023 18:09 MYT
Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menyenaraikan bintang muda Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi, sebagai antara lima pemain perlu diberikan tumpuan dalam Piala Asia di Qatar bulan depan.
Badan induk itu, dalam laman web rasmi mereka, menyenaraikan Arif Aiman bersama empat bintang Asia lain, iaitu Junya Ito (Jepun), Cho Gue-sung (Korea Selatan), Harry Souttar (Australia) dan Harib Abdalla (Emiriah Arab Bersatu).
"Malaysia kini menjadi satu kuasa baru yang stabil di rantau Asia Tenggara. Harimau Malaya hanya memenangi tiga daripada 10 perlawanan sebelum ketibaan jurulatih Korea Selatan, Kim Pan-gon, tetapi mereka kemudian memenangi 18 daripada 27 perlawanan terakhir," kata FIFA.
"Mereka juga memulakan kempen kelayakan Piala Dunia 2026 dengan cemerlang dengan memenangi dua perlawanan pertama. Paling mencuri tumpuan ketika mereka bangkit daripada ketinggalan 1-3 pada 20 minit terakhir sebelum menewaskan Kyrgyzstan 4-3 dalam perlawanan pembukaan.
"Tunjang kepada kejayaan itu ialah Arif Aiman, yang melakukan tiga bantuan jaringan dalam kemenangan dramatik berkenaan.
"Pemain berusia 21 tahun itu juga berada dalam prestasi terbaik bersama pasukan gergasi Malaysia, Johor (Darul Ta'zim), dengan menghasilkan lapan gol dan 13 bantuan jaringan daripada 23 perlawaanan musim ini.
"Dia mula menyerlah selepas menjaringkan gol ke atas Borussia Dortmund dalam satu aksi persahabatan hujung tahun lalu dan terus berkembang menjadi antara prospek paling menarik buat Malaysia."
#bola sepak #FIFA #Harimau Malaya #Arif Aiman Hanapi
;