Skip to main content

Bola Sepak

Piala Asia: Dua gol Ali pastikan Qatar ketuai Kumpulan E

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

almoez-ali.jpg
ARAB SAUDI 0 QATAR 2

Almoez Ali meledak gol ketujuhnya dalam tiga perlawanan Piala Asia 2019 menerusi kemenangan 2-0 untuk Qatar mendahului Kumpulan E di depan Arab Saudi, awal pagi tadi.


Penjaring terbanyak Piala Asia dalam kempen di Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu menemui sentuhan penyudah dalam separuh masa pertama untuk Qatar merakam kemenangan bersih tiga perlawanan di peringkat kumpulan untuk menempah pertemuan dengan Iraq.

Gol pertama Ali hadir dalam babak pertama, tidak lama selepas sepakan penalti Hasan Al Haydos diselamatkan, sebelum penyerang yang dalam kemuncak prestasi itu menggandakan kedudukan ketika permainan berbaki 10 minit untuk memastikan mereka melolosi peringkat kumpulan buat julung kalinya.

Arab Saudi, yang sudah pun mengesahkan kemaraan hasil dua kemenangan terdahulu, bakal menghadapi Jepun dalam pusingan pertama kalah mati.

Fahad Al Muwallad terlebih dahulu hampir memberikan Arab Saudi kelebihan yang menyaksikan percubaannya mengenai tiang sebelum Ali memenangi sepakan penalti ekoran terjahan Ali Hadi Albulayhi.

Tendangan Al Haydos yang menghala ke bahagian tengah pintu gol itu ditepis keluar Mohammed Al Owais dengan kaki kiri, namun Qatar tidak perlu menunggu terlalu lama untuk gol pembukaan mereka.

Kekeliruan di bahagian pertahanan Arab Saudi menyaksikan dua pemain cuba mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dan situasi itu dimanfaatkan Ali untuk meletakkan Qatar di hadapan sebelum menuju bilik persalinan. 

Qatar terlepas untuk meledak gol kedua daripada sepakan sudut apabila Al Owais sempat menguis keluar percubaan Ali di awal separuh masa kedua.

Bagaimanapun, Arab Saudi terperangkap dengan situasi bola mati apabila gagal merantai pergerakan Ali untuk gol kedua perlawanan. 

Advertisement

Must Watch Video