BOLA SEPAK
Piala Asia B-23: Skuad negara dalam kondisi terbaik untuk mulakan kempen -- Maloney
Ketua jurulatih skuad B-23 negara, Brad Maloney, berkata pasukannya kini berada dalam keadaan terbaik untuk memulakan kempen Piala Asia B-23 menentang Korea Selatan di Tashkent, Uzbekistan, Khamis ini.
Menjelang perlawanan pembukaan Kumpulan C itu, Maloney turut berasakan pasukan juara bertahan, Korea Selatan, akan menjadi ancaman terbesar buat skuad negara sebelum bertemu Thailand dan Vietnam dalam dua perlawanan berikutnya.
Dalam satu temu bual Nadi Arena, Maloney berkata: "Saya fikir pemain sudah dapat menyesuaikan diri dengan amat baik, mereka sudah terbiasa dengan keadaan di sini.
Iklan
"Ia sesuatu yang baik untuk bola sepak kerana ketika ini, setiap pemain cergas untuk dipilih.
"Kami telah menjalani latihan pertama tengah hari tadi, buat masa ini setiap pemain boleh diturunkan.
"Sudah pasti kami menghormati Korea Selatan, mereka pasukan juara bertahan dan mempunyai pemain dengan kualiti yang amat baik.
"Ia akan menjadi cabaran yang besar buat kami tetapi saya percaya pasukan kami mampu memberikan cabaran buat mana-mana pasukan.
"Pemain kami tidak berasa takut, mereka tahu bagaimana untuk berlawan dengan mana-mana pasukan.
"Cuma agak bagus untuk memulakan saingan di sini tanpa sebarang tekanan luaran dan biarkan mereka bermain seperti biasa," katanya.
Must-Watch Video