Piala Asia B-23: Keyakinan Harimau Muda tidak di tahap terbaik -- Juan Torres

Muzaffar Musa
April 23, 2024 18:58 MYT
Ketua jurulatih skuad B-23 negara, Juan Torres Garrido, mengakui keyakinan pasukannya tidak berada di tahap terbaik susulan tewas dalam dua aksi peringkat Kumpulan D, Piala Asia b-23 di Doha, Qatar.
Bagaimanapun, dia percaya anak buahnya akan berjuang habis-habisan ketika berdepan Kuwait dalam aksi terakhir malam ini meskipun sedar perjalanan mereka dalam edisi kali ini sudah pun berakhir.
Tanpa berselindung, pengendali kelahiran Sepanyol itu memaklumkan fokus barisan kejurulatihannya adalah untuk memulihkan semula semangat dan keyakinan pemain.
Selain itu, dia turut beredia untuk memberikan minit permainan kepada pemain yang belum mendapat peluang beraksi dalam dua perlawanan terdahulu.
"Amat jelas pasukan ini masih terjejas dan mungkin kami perlu mengatasinya kerana kami masih ada satu perlawanan berbaki dan kami perlu memberikan persembahan terbaik," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
"Kami akan mencuba untuk melakukan persiapan kerana kejohanan ini masih belum tamat dan kami akan mencuba untuk menurunkan pasukan terbaik.
"Bagi saya, ia perlawanan yang penting untuk menunjukkan kami pasukan yang boleh diharapkan dan menunjukkan prestasi sebenar yang kami ada kerana perlawanan menentang Vietnam bukanlah aksi sebenar kami, jadi kami mahu membuktikannya.
"Sudah pasti kami mahu memberikan kemenangan kepada penyokong yang menyokong kami di sini dan yang menyokong di Malaysia," katanya.
#bola sepak #Piala Asia B-23 #Harimau Muda #Juan Torres Garrido
;