Skip to main content

Bola Sepak

Piala Asia B-23: Garrido yakin skuad negara saji aksi berkualiti

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

piala-asia-b-23.jpg
Skuad B-23 negara kini di tahap terbaik -- tiga hari sebelum sepak mula Kumpulan D Piala Asia B-23 2024 menentang Uzbekistan di Stadium Antarabangsa Khalifa, Doha, Qatar, Rabu ini.

Persiapan lebih awal bermula dengan latihan pusat pada 17 Mac lalu sebelum ke Doha, 1 April membuktikan keseriusan skuad Harimau Muda kendalian Juan Torres Garrido untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di sana.

Empat perlawanan persahabatan kompetitif menentang pasukan berprofil tinggi, India, China dan Qatar juga memberi ruang kepada pengendali dari Sepanyol tersebut memperkemaskan semula barisan skuad muda negara itu.

Biarpun begitu Garrido masih belum mahu berasa selesa sebaliknya menegaskan mereka kini sedang berada pada fasa terakhir menyiapkan pasukan.

Jelasnya, perlawanan persahabatan diharungi pemain-pemain negara membantu membentuk permainan matang dalam kalangan mereka sebelum bermulanya temasya.

Malah, senarai 23 pemain terakhir Harimau Muda yang diumumkan pada Jumaat merupakan adunan terbaik Garrido selepas mengharungi empat perlawanan persahabatan menjelang sepak mula kejuaraan tersebut.



“Perlawanan persahabatan dan persiapan yang telah kita hadapi meletakkan pasukan dalam situasi bersedia menghadapi permainan berkualiti dan lawan yang bagus.

“Sangat bagus untuk pemain mendapat pengalaman demi pengalaman dan secara keseluruhan saya telah nampak kekuatan pasukan menjelang perlawanan sebenar,” katanya. -- Sinar Harian 

Advertisement

Must Watch Video