BOLA SEPAK MSIA

Piala Asia B-17: Skuad muda negara perlu bangkit lupakan kekalahan besar -- Osmera

Muzaffar Musa 17/06/2023 | 11:05 MYT
Ketua jurulatih skuad B-17 negara, Osmera Omaro, menegaskan anak buahnya perlu melupakan kekalahan besar 0-4 kepada Yaman dalam perlawanan pertama Kumpulan A, Piala Asia B-17 menjelang aksi wajib menang menentang tuan rumah, Thailand, di Stadium Thammasat, Pathum Thani petang esok.
Skuad negara tewas 0-4 kepada Yaman dalam aksi pembukaan pada Khamis lalu, sekali gus perlu menewaskan Thailand bagi menjamin tiket ke separuh akhir.
Bagi Osmera, bukan perkara mustahil untuk anak buahnya menumbangkan pasukan tuan rumah itu seandainya mereka dapat mengelakkan daripada melakukan sebarang kesilapan mudah.
"Jika pemain dapat beraksi dengan penuh keyakinan, menyudahkan setiap peluang, mengelakkan kesilapan individu yang tidak sepatutnya, saya rasa kami masih berpeluang," kata Osmera seperti yang dipetik Astro Arena.
"Kami masih ada seorang pemain utama yang saya rasa tidak lagi dapat beraksi dalam kejohanan ini (kerana kecederaan), pemain utama keempat kami yang tidak dapat diturunkan dalam kejohanan ini, jadi ia sememangnya akan memberikan impak yang besar.
"Apabila pemain utama tiba-tiba tiada dalam skuad, ia sememangnya akan memberikan kesan tetapi kami akan mencuba yang terbaik dengan pemain yang ada.
"Pemain kekal bersemangat, mereka tahu mereka sudah buat yang semampunya dan mereka juga sedar ada melakukan banyak kesilapan dan bersemangat untuk bangkit," katanya.
#bola sepak #Osmera Omaro #Piala Asia B-17
;