BOLA SEPAK
Piala Asia B17: Kemenangan ke atas Laos gagal jadi penawar
Menang namun tetap berduka, kejayaan Malaysia menundukkan Laos dalam aksi terakhir Piala Asia B17 tampak gagal menjadi penawar duka buat pengendali skuad muda negara, Osmera Omaro.
Ini kerana pencapaian pasukannya dalam kejohanan yang dianjurkan di Thailand itu menyerlahkan kelompongan pembangunan bola sepak negara.
"Perkembangan pemain masih lagi kebimbangan utama. Sememangnya kami tidak berpuas hati dengan keputusan yang diperoleh dalam kejohanan kali ini," kata Osmera.
Iklan
"Terdapat pemain yang berbakat dan berpotensi, mereka bakal meninggalkan skuad B17 dan menyertai kelab-kelab selepas ini."
Terdahulu, skuad B17 negara melengkapkan aksi terakhir peringkat kumpulan dengan kemenangan 2-1 ke atas Laos di Stadium Thammasat, semalam.
Kemenangan itu bagaimanapun tidak memberikan sebarang makna susulan skuad muda negara sudah terkeluar daripada kejohanan usai kekalahan 3-0 kepada tuan rumah, Thailand yang juga kekalahan kedua berturut-turut selepas tunduk 4-0 di tangan Yaman.
Ia sekaligus menyaksikan pasukan tersebut gagal menepati sasaran layak ke separuh akhir untuk beraksi di Piala Dunia B17 hujung tahun ini.
Dan ini juga tampak mencerminkan kegagalan produk Akademi Mokhtar Dahari (AMD) ketika mereka dibarisi kelompok pemain terbaik dengan majoritinya daripada AMD untuk bersaing di pentas Asia.
Must-Watch Video