BOLA SEPAK
Piala Asia B-17: Jurulatih negara tuntut persembahan membanggakan jumpa Yaman
Ketua jurulatih skuad B-17 tahun negara, Osmera Omaro, menegaskan dia tidak meletakkan sebarang tekanan buat pasukannya bagi menghadapi kempen Piala Asia di Bangkok.
Apa yang dimahukan hanyalah persembahan terbaik daripada anak buahnya di samping mengikut segala perancangan yang bakal direncanakan barisan kejurulatihan kebangsaan.
Skuad muda negara dijadual berdepan juara edisi 2002, Yaman, dalam aksi sulung Kumpulan A di Stadium Thammasat esok.
"Kami mahu membuat semua orang bangga dan belajar sesuatu daripada kejohanan ini.
"Kami menjalani persiapan singkat dan mengharungi dua aksi persahabatan, harap ia cukup untuk kami menghadapi kejohanan ini.
"Kami tidak terlalu memikirkan bagaimana keadaan (cuaca) di Thailand, saya tak fikir ia akan memberi kami kelebihan besar.
"Apa pun, kami bersyukur tuan rumah menyediakan kemudahan latihan yang baik," katanya.
Malaysia seterusnya akan menentang tuan rumah, Thailand, Ahad ini sebelum menutup saingan kumpulan bertemu Laos, tiga hari kemudian.
Empat pasukan yang layak ke pentas separuh akhir akan meraih slot automatik ke Piala Dunia B-17 di Sepanyol, November depan.