Pemain Harimau Muda tetap bersemangat walaupun perayaan Hari Raya Aidilfitri kali ini tidak dapat disambut bersama keluarga kerana perlu bersama pasukan negara dalam kejohanan Piala Asia B-23 Qatar yang akan bermula 17 April ini.
Tonggak pertahanan B-23 negara, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili berkata, pemain sedia berkorban demi negara selain sudah biasa beraya bersama pasukan di perantauan.
"Saya rasa setiap tahun, kejohanan B-23, kalendar dekat dengan hari raya selama tiga tahun. Bagi saya, ini pengorbanan yang kami kena buat sebab kami pilih jalan ini.
"Bagaimanapun, dapat juga sambut hari raya dengan kawan-kawan. Kami sudah biasa dengan keadaan ini." katanya.
Ketika ini, skuad kendalian Juan Torres Garrido itu sudah berada di Qatar lebih awal untuk menjalani latihan dan beberapa perlawanan persahabatan di sana.
Pada kempen Piala Asia B-23, Malaysia yang diundi dalam Kumpulan D akan membuka saingan menentang Uzbekistan pada 17 April diikuti Vietnam (20 April) dan Kuwait (23 April) dengan misi untuk mara sekurang-kurangnya ke suku akhir.
Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke suku akhir dan berpeluang meneruskan cabaran merebut tiga slot automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024 manakala pasukan keempat terbaik kejohanan akan bermain perlawanan play-off bertemu Guinea di Paris Mei ini. - Sinar Harian