Piala Asia B-23: Kecederaan lutut Ubaidullah Shamsul terus dipantau

Shaiful Shamsudin
Disember 21, 2023 16:46 MYT
Jurulatih skuad B-23 negara, Torres Garrido, mengakui keperluan benteng tengah Terengganu FC, Ubaidullah Shamsul, bersama pasukan menjelang saingan Piala Asia B-23 April lalu.
Rentetan daripada kecederaan lutut di tahap satu yang dialami Ubaidullah ketika dalam final Piala Malaysia 2023, anak jati Kelantan itu terlepas peluang pancing perhatian Garrido buat pertama kali di tanah besar, China.
Proses pemulihan buat Ubaidullah sedang berlaku ketika ini dan situasi ini mendapat perhatian pengendali tersebut yang tidak berselindung skuad B-23 negara berkenaan memerlukan kelibatnya, khususnya menjelang kempen pada 15 April hingga 2 Mei tahun depan.
"Kami akan mngetahuinya lebih lanjut pada minggu depan. Harap-harap dia akan bersedia mewakili kami.
"Doktor di Terengganu dan pasukan kebangsaan akan memeriksanya lagi seawal minggu depan," katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Dua perlawanan aksi persahabatan bakal berlangsung China, namun kegagalan untuk mendapatkan beberapa nama seperti Noa Laine membuatkan Garrido berasa masih ada kekurangannya.
Tempoh latihan hanya tiga hari sebelum berangkat ke China bukanlah persediaan terbaik tetapi dengan menutup sesi latihan tanpa sebarang gangguan daripada pihak media sedikit sebanyak dapat membantu pemain untuk lebih fokus.
Seramai 24 pemain B-23 negara berangkat ke China pada hari ini demi memenuhi dua perlawanan ujian pada Sabtu ini dan Selasa depan ini.
"Ia mengambil masa yang lama, hanya minggu lalu kami dapat mengesahkan perlawanan.
"Kami cuba dapatkan pemain dihajati memandangkan musim liga sudah berakhir dan kami akan buat persiapan singkat jadi kami fokus kepada persiapan di China," katanya.
#Terengganu FC #Piala Asia B-23
;