Indonesia mengesahkan kemaraan ke suku akhir Piala Asia B-23 hanya dalam penampilan sulung mereka sejak penganjuran pertama bermula pada 2013 yang lalu.

2024 merupakan edisi keenam Piala Asia B-23, dengan kejuaraan dalam lima edisi sebelum ini menjadi milik pasukan yang berbeza iaitu Iraq (2013), Jepun (2016), Uzbekistan (2018), Korea Selatan (2020), dan Arab Saudi (2022).

Biarpun hanya memerlukan keputusan seri berdepan Jordan, skuad Garuda pamer aksi memberangsangkan dengan kemenangan besar 4-1 untuk melayakkan diri ke pusingan kalah mati dengan bergaya.

Selepas buka kempen Piala Asia B-23 dengan kekalahan ke atas tuan rumah, Qatar, skuad kendalian Shin Tae-yong terus bangkit di perlawanan kedua untuk mengatasi Australia dengan gol tunggal dijaringkan oleh Komang Teguh.

Dalam perlawanan semalam, Marselino Ferdinan berjaya cetak dua gol manakala dua lagi gol Indonesia diledak oleh Witan Sulaeman dan Komang Teguh.

“Saya memberitahu kepada pasukan untuk melupakan kekalahan kepada Qatar, kita bergerak ke depan dan kami mendapat keyakinan kami kembali selepas menewaskan Australia".

“Saya sangat gembira kerana kami berjaya mara ke pusingan seterusnya dan saya mahu berkongsi kemenangan ini dengan semua peminat Indonesia dan semua orang daripada Persatuan Bola Sepak Indonesia”, kata Tae-yong.

Mereka dijangka akan menghadapi cabaran daripada sama ada Korea Selatan atau Jepun di peringkat kalah mati, Jumaat ini.