PIALA ASIA
Piala Asia: Arif Aiman, Faisal bergelut di peringkat antarabangsa, kata legenda bola sepak negara
Legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan dan Datuk Leong Teong Kim, menyifatkan mutu pemain tempatan ketika ini masih belum memenuhi tahap antarabangsa.
Malaysia masih kebuntuan jaringan dan sebarang mata dalam kempen Kumpulan E Piala Asia dengan dua tonggak, Arif Aiman Hanapi dan Faisal Halim, bergelut untuk menjelmakan kelincahan mereka.
Malah, kemasukan muka baru seperti pemain naturalisasi, Romel Morales, telah meletakkan ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon, dalam situasi dilema.
"Kita tahu Faisal gemar membawa bola ke depan untuk menggelecek tapi kali ini tidak, dia mungkin hilang keyakinan.
"Arif Aiman dan Faisal merupakan senjata yang ditakuti di seluruh negeri tetapi apabila ia tidak menjadi, pemain nampak takut dengan bola.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Jadi bila tertekan sahaja, cari Romel dengan hantaran jauh.
"Kita hilang corak permainan dua tahun selama ini," katanya di Astro Arena sebentar tadi.
Bekas jurulatih Perak FC, Teong Kim, juga menuntut pemain-pemain agar menggunakan kesempatan terakhir di Qatar ini untuk membuktikan kemampuan mereka, lebih-lebih Arif Aiman yang diangkat sebagai Pemain Paling Bernilai sebanyak dua kali.
"Pemain lawan juga hilang bola di depan kotak penalti tapi kalau kita tidak berani cuba, mana mana nak jadi pemain hebat?
"Betapa hebatnya Arif Aiman dalam liga tapi hanya sekali sahaja dia menggelecek ketika bertemu Jordan.
"Macam mana anda mahu mengatakan bahawa anda seorang pemain yang hebat?," katanya.