Skip to main content

Bola Sepak

Piala Asia: Arab Saudi, Qatar rebut takhta Kumpulan E

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

almoez-ali.jpg
Kedudukan teraju Kumpulan E, Piala Asia 2019 menjadi menjadi taruhan dalam pertemuan Qatar dan Arab Saudi di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), tengah malam ini. 

Kedua-dua pasukan telah memenangi dua perlawanan pembukaan mereka untuk menjamin tempat ke peringkat kalah mati, dengan Qatar mengetuai kumpulan berikutan kemenangan 6-0 ke atas Korea Utara. 

Qatar tidak pernah menduduki tangga teratas peringkat kumpulan, sekali gus menyuntik motivasi baru buat anak buah Felix Sanchez itu untuk berdepan salah sebuah pasukan gergasi Asia itu. 

Qatar mempunyai rekod cemerlang ketika menentang juara tiga kali tersebut dengan catatan tiga kemenangan, empat seri dan satu kekalahan dalam lapan pertemuan.

Prestasi Almoez Ali bakal menjadi tumpuan buat skuad tuan rumah Piala Dunia 2022 itu, namun penjaga gol, Saad Al Sheeb, berkata perpaduan dalam skuad Qatar menjadi dorongan kepada mereka untuk mara.

"Kekuatan kami terletak atas semangat sepasukan. Jurulatih telah membuat persediaan rapi, sama ada dalam serangan atau pertahanan," katanya.

"Almoez dan Akram (Afif) merupakan pemain yang sangat baik dan dengan bantuan pemain yang lain, ia telah membantu kemajuan Qatar. Kami adalah sebuah pasukan -- baik 11 pemain dalam kesebelasan utama mahupun di bangku simpanan serta barisan kejurulatihan.

"Semangat kami sememangnya tinggi kerana kami benar-benar mahu melakukan yang terbaik dalam Piala Asia. Kami telah bekerja keras dan akan terus melakukannya kerana kami mahu mara sejauh yang boleh.

"Apabila kami tiba di sini, kami merancang untuk menghadapi satu persatu perlawanan. Selepas mencatat dua kemenangan, keyakinan kami telah meningkat. Kami akan membuat persediaan yang baik untuk perlawanan ini dan matlamat kami adalah untuk mendapatkan tiga mata."

Selepas mengharungi dua perlawanan kumpulan dengan selesa, Arab Saudi akan berdepan ujian terbesar mereka untuk merebut tempat teratas dan jurulatih skuad Green Falcons itu, Juan Antonio Pizzi, berkata pihaknya bertekad untuk mengatasi lawan.

"Kami akan cuba melakukan yang terbaik untuk menang," kata jurulatih dari Argentina itu dalam sidang media. 

"Kami akan bermain dengan sepenuh kekuatan dan tidak kira siapapun lawan yang kami bakal hadapi (dalam pusingan kalah mati), kami akan bersedia menghadapi mereka.

"Apa yang penting ialah meraih keputusan yang baik dan itulah yang berlaku dalam dua perlawanan pertama kami ketika menentang Lubnan dan Korea Utara."

Penggempur, Fahad Al Muwallad, menambah: "Selepas mengesahkan kelayakan, itu tidak bermakna kami memandang rendah kepentingan perlawanan ini. Kami berjanji untuk beraksi dengan kekuatan maksimum dalam setiap perlawanan."

Advertisement

Must Watch Video