Skip to main content

Bola Sepak

Piala Asia: Arab Saudi ke pusingan 16 atasi sembilan pemain Kyrgyzstan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

faisal-alghamdi_1arab-saudi.jpg
KYRGYZSTAN 0 ARAB SAUDI 2

Arab Saudi mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati Piala Asia Qatar 2023 apabila menewaskan sembilan pemain Kyrgyzstan 2-0 dalam aksi Kumpulan F awal pagi tadi.

Gol daripada Mohamed Kanno dan Faisal Al-Ghamdi dalam separuh masa berbeza di Stadium Ahmad bin Ali di Al-Rayyan menyaksikan juara tiga kali itu kini mendahului kumpulan berkenaan dengan enam mata daripada dua perlawanan.

Ia juga menyaksikan mereka berkelebihan dua mata di atas pencabar terdekat, Thailand, yang terikat 0-0 dengan Oman dalam perlawanan lebih awal.

Kemenangan Arab Saudi itu dipermudahkan dengan dua layangan kad merah kepada pemain Kyrgyzstan, masing-masing pada awal babak pertama dan kedua.

Aizar Akmatov terlebih dahulu dilayangkan kad merah seawal minit kelapan gara-gara terjahannya ke atas Sami Al-Naji.

Kanno kemudian memecahkan kebuntuan jaringan pada 10 minit terakhir babak pertama dengan melakukan rembatan voli ke gawang lawan selepas menerima umpanan Saud Abdulhamid.

Tujuh minit selepas babak kedua bersambung, Kimi Merk pula dilayangkan kad merah kerana melakukan terjahan berbahaya, sekali gus menyaksikan Kyrgyzstan terpaksa beraksi dengan sembilan pemain.

Keadaan itu memudahkan Arab Saudi untuk memberikan tekanan dan pada enam minit terakhir, Al Gahmdi melakukan percubaan jarak jauh yang terbias untuk menewaskan penjaga gol, Erzhan Tokotaev, sekali gus mengesahkan kemaraan Al-Akhdar ke pusingan 16.


 

Advertisement

Must Watch Video