Piala ASEAN Mitsubishi Electric 2024: Harimau Malaya mungkin taruh skuad kedua
November 16, 2024 22:40 MYT
Harimau Malaya mungkin menurunkan 'skuad kedua' tanpa pemain utama untuk bersaing dalam kejohanan Piala ASEAN Mitsubishi Electric 2024 bulan depan.
Bayangan itu terjelma menerusi penarikan balik tiga tonggak skuad Harimau Malaya oleh kelab mereka, Johor Darul Ta'zim (JDT) dari menyertai pasukan ke Hyderabad menentang India pada Isnin.
Tiga pemain itu ialah Arif Aiman Hanapi, Matthew Davies dan Feroz Baharuddin.
Skuad Harimau Malaya kendalian Pau Marti turun menjalani sesi latihan terakhir di Bangkok, Thailand, pagi tadi sebelum mereka berlepas ke Hyderabad, India, malam ini.#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/6rBZVkeDK1
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) November 16, 2024
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagaimanapun masih mengunci mulut mengenai status para pemain yang bakal menggalas cabaran negara di pentas ASEAN itu.
Setiausaha Agungnya, Datuk Noor Azman Rahman berkata, perkara tersebut terletak di bawah tanggungjawab ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Pau Marti Vicente dan ia akan diputuskan pada minggu depan.
Malah kata beliau, penarikan tiga pemain itu dibuat setelah mendapat persetujuan Pau Marti yang sudah tentu mempunyai perancangan tersendiri.
Tambah beliau, aksi menentang Laos, Khamis lalu dan India pada Isnin adalah sebahagian daripada persiapan skuad negara ke Piala ASEAN.
“Ia adalah keputusan jurulatih sama ada nak bawa 23 atau 26 pemain ke Hyderabad. Lazimnya kita akan bawa 23 pemain.
Senarai akhir 26 pemain skuad Harimau Malaya kendalian Pau Marti bagi menghadapi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang Laos di Bangkok, Thailand pada Khamis, 14 November 2024 dan bertemu India di Hyderabad pada Isnin, 18 November 2024.#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/98kY0wgTiC
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) November 12, 2024
“Tiada isu sebenarnya (penarikan balik tiga pemain) dan tiada kaitan dengan aksi Piala Malaysia.
“Mungkin (bayangan skuad Harimau Malaya tanpa pemain utama pada Piala ASEAN). Apapun tunggu keputusan jurulatih,” katanya.
Beliau ditemui media selepas majlis pelancaran produk minuman jenama Pablo Dollah Kopi di Subang pada Sabtu.
Produk tersebut adalah milik legenda bola sepak negara, Datuk Dollah Salleh.
Bagaimanapun Noor Azman melihat perkembangan tersebut sebagai positif apabila tanpa kelibat tonggak Harimau Malaya mampu memberi peluang kepada pemain lain untuk beraksi.
“Mungkin pemain lain boleh menyerlah. Ini peluang buat mereka,” katanya.
FAM pada Sabtu melaporkan kepulangan tiga pemain itu ke tanah air sebagai persiapan JDT mengharungi saingan Piala Malaysia menentang Kuala Lumpur Rovers pada 20 November.
Sebagai rekod, aksi persahabatan yang berlangsung ketika ini adalah dalam kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berbanding Piala ASEAN di luar musim badan induk tersebut. - Sinar Harian