Piala AMEC: Vicente rasa janggal dibayangi berita pelantikan Cklamovski

Shaiful Shamsudin
Disember 19, 2024 13:04 MYT
Jurulatih sementara, Pau Marti Vicente, mengakui nasib Harimau Malaya terletak di tangan sendiri memandangkan mereka tiada jalan lagi melainkan kemenangan dalam perlawanan penutup Kumpulan A malam esok.
Jurulatih sementara, Pau Marti Vicente, mahu kekal fokus mengharungi kempen Piala ASEAN Mitsubishi Electric (AMEC) 2024 walaupun statusnya sudah diketahui dengan pelantikan Peter Cklamovski minggu ini.
Dua hari lalu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan pengendali dari Australia itu sebagai pengganti bagi mengisi jawatan yang ditinggalkan Kim Pan-gon tersebut.
Ia secara tidak langsung membayangi persiapan Harimau Malaya yang akan menghadapi perlawanan hidup mati bertemu Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil.
"Bagi saya dari awal lagi nampak janggal. Saya tidak pasti apakah kebaikannya mengumumkan jurulatih baru tatkala kami masih lagi di sini (mengendalikan pasukan).
"Apa yang boleh boleh kawal ialah dalam latihan dan di atas padang. Itu sahaja yang perlu difokus dan pertimbangkan barisan pemain bagi mencari jalan terbaik untuk mengalahkan Singapura.
"Kalau fikirkan terlalu banyak tentang apa yang berlaku, adalah sukar untuk bersaing," katanya dalam sidang akhbar praperlawanan di Bukit Jalil sebentar tadi.
#Harimau Malaya #Piala ASEAN #Piala AMEC
;