Penyerang skuad kebangsaan, Haqimi Azim Rosli, gagal menahan sebak di sebalik penyingkiran Piala ASEAN Mitsubishi Electric apabila seri tanpa jaringan dengan Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Dalam perlawanan wajib menang Harimau Malaya, gol seakan enggan kunjung tiba apabila deretan peluang demi peluang dihasilkan namun gagal menerjah gawang Singapura.
Aksi mantap daripada corak pertahanan Singapura sehinggalah palang gol yang sentiasa mengecewakan barisan pemain negara, kehadiran lebih 30,000 penonton di SNBJ serta mereka yang menonton di kaca televisyen.
Selepas tamat perlawanan, Haqimi yang ditemubual ternyata gagal mengawal emosi di sebalik penyingkiran Malaysia.
"Tiada rezeki Malaysia menang di laman sendiri. Kami telah bermain dengan baik, namun kemenangan tidak memihak kami," katanya.
"Terima kasih kepada semua yang hadir ke stadium memberikan sokongan kepada Harimau Malaya.
"Saya amat kecewa kerana gagal menjaringkan gol dalam situasi satu lawan satu, saya berharap penyokong dapat menerima keputusan yang kami peroleh dalam perlawanan ini.
"Kami meminta maaf kepada Pau Marti dan staf kejurulatihan kerana tidak dapat membawa pasukan ke separuh akhir."
Ammar Hakim
Fri Dec 20 2024