BOLA SEPAK MSIA

Piala AMEC: Kesilapan lumrah dalam bola sepak -- jurulatih enggan salahkan Haziq Nazli

Shaiful Shamsudin 14/12/2024 | 23:57 MYT
Jurulatih sementara, Pau Marti Vicente, enggan bersikap menuding jari atas kesilapan penjaga gol, Haziq Nazli, yang membawa kepada jaringan kemenangan Thailand dalam pertembungan Kumpulan A, Piala ASEAN Mitsubishi Electric (AMEC) 2024.
Tindakan kurang cermatnya ketika mengeluarkan bola pada minit ke-57 memberi ruang buat Patrik Gustavsson melepaskan rembatan ke gawang yang sudah terbuka luas.
Vicente sebaliknya menganggap kesilapan adalah lumrah perlawanan, lebih-lebih lagi selepas anak buahnya memperagakan satu prestasi yang memberangsangkan untuk mengimbangi ancaman tuan rumah di Stadium Rajamangala, malam tadi.
"Saya fikir kita tidak boleh salahkan sesiapapun berhubung keputusan ini.
"Sudah tentu bukan semua orang boleh menerimanya.
"Ini sukan yang sukar. Pastinya pemain akan membuat kesilapan dan berbuat lebih banyak kesilapan," katanya selepas perlawanan.
Dalam masa sama, Vicente berbangga dengan semangat juang pemainnya selepas melalui minggu lalu yang perit apabila seri dengan Kemboja dan sekadar menang tipis ke atas Timor-Leste.
"Pasukan ini buktikan bahawa kami sebuah pasukan yang bagus," katanya.
#Harimau Malaya #Piala ASEAN #Piala AMEC
;