BOLA SEPAK MSIA

Piala AMEC: Kemboja nyaris buat Harimau Malaya berputih mata

Shaiful Shamsudin 08/12/2024 | 12:40 MYT
KEMBOJA 2 MALAYSIA 2
Kemboja memberi bayangan betapa Malaysia bakal berdepan laluan berliku apabila memerlukan kebangkitan untuk mengikat Kemboja 2-2 dalam perlawanan sulung Piala ASEAN Mitsubishi Electric (AMEC) 2024 di Phnom Penh, sebentar tadi.
Selepas aksi seimbang, skuad Harimau Malaya tidak dapat mempertahankan jaringan pendahuluan menerusi tandukan terbang pemain tengah, Stuart Wilkin, pada minit ke-35.
Begitupun, anak buah Pau Marti Vicente tampak tenggelam dalam permainan awal separuh masa kedua, sekali gus membenarkan Kemboja mengatur asakan.
Dan kesilapan Jimmy Raymond yang tidak dapat melakukan tampanan tepat memberi ruang untuk tuan rumah mencipta gerakan yang ditampan sempurna oleh pemain naturalisasi kelahiran Ivory Coast, Abdel Kader Coulibaly, pada minit ke-52.
Kerancakan gol terus menghiasi Stadium Olimpik Nasional itu apabila tujuh minit kemudian giliran pemain gantian skuad Kouprey, Sa Ty, melakukan larian untuk menampan sepakan penjuru yang menjadikan kedudukan 2-1.
Fergus Tierney muncul penyelamat tatkala Harimau Malaya hampir berputih mata diselamatkan apabila rembatan kirinya pada minit ke-73 berada di luar jangkauan penjaga gol, Vireak Dara, untuk kedudukan 2-2.
Malaysia berpeluang untuk kembali mendahului. namun pemain naturalisasi kebangsaan, Sergio Aguero, yang meluru ke arah Dara pula lambat bertindak hingga percubaannya dipatahkan dan terpaksa berpuas hati berkongsi mata dalam aksi pembukaan Kumpulan A itu dan menuntut kerja rumah daripada Pau Marti bagi memperkemaskan permainan Harimau Malaya yang akan bertemu Timor-Leste di Bukit Jalil pada Rabu depan.
#Harimau Malaya #Piala AMEC #Piala ASEAN,
;