Piala AMEC: Indonesia tersungkur di tangan Filipina
Muzaffar Musa
Disember 21, 2024 23:04 MYT
Disember 21, 2024 23:04 MYT
INDONESIA 0 FILIPINA 1
Indonesia tersingkir daripada saingan Piala ASEAN Mitsubishi Eletric (AMEC) 2024 apabila tewas 0-1 di tangan Filipina dalam aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Manahan, Surakarta sebentar tadi.
Segalanya tampak akan memihak tuan rumah dengan deretan percubaan yang dilakukan ke gawang The Azkals sejak wisel permulaan.
Bagaimanapun, keadaan itu mula berubah 180 darjah pada penghujung separuh masa pertama apabila kapten Garuda, Muhammad Ferarri, dilayangkan kad merah pada minit ke-42 gara-gara tindakannya menyiku muka ketua pasukan Filipina, Amani Aguinaldo.
Selepas itu, arus permainan mula memihak pelawat, yang memanfaatkan kelebihan seorang pemain untuk merencanakan serangan.
Malang berganda menimpa Indonesia apabila tindakan Dony Tri Pamungkas menahan bola menggunakan lengan memberikan sepakan penalti buat Filipina yang tenang disempurnakan Bjorn Martin Kristensen pada minit ke-63.
Dengan keputusan itu, Filipina memintas kedudukan Indonesia di tangga kedua Kumpulan B dengan enam mata, dua mata di atas lawan itu dan empat mata di belakang juara kumpulan, Vietnam, yang membelasah Myanmar 5-0 dalam satu lagi perlawanan.
The Azkals seterusnya akan bertemu juara Kumpulan A, Thailand, bagi penentuan ke final minggu depan.
"Bola Sepak","Piala AMEC","Piala ASEAN Mitsubishi Eletric","Indonesia","Filipina"