Piala AMEC: Harimau Malaya sama sekali tidak pandang rendah Timor-Leste -- Dominic
Shaiful Shamsudin
Disember 11, 2024 18:53 MYT
Disember 11, 2024 18:53 MYT
Ketua pasukan Harimau Malaya, Dominic Tan, mengingatkan rakan sepasukannya agar tidak memandang rendah keupayaan Timor-Leste meskipun hadir dengan rekod buruk selepas diaibkan Thailand 0-10 dalam perlawanan pembukaan Piala ASEAN Mitsubishi Electric (AMEC) 2024, Ahad lalu.
Sementara itu bintang utama Timor-Leste, Joao Pedro, berkata mereka sudah melupakan kekalahan besar kepada skuad Gajah Perang dan fokus kini terarah kepada pertemuan menentang Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
"Adalah menjadi satu penghormatan untuk mewakili negara. Saya mengambil serius dan memberikan yang terbaik demi negara.
"Adalah penting untuk beraksi cemerlang di tempat sendiri dan dapatkan tiga mata.
"Sebagai kapten, saya sedia bimbing pemain muda, mereka berhak berada di sini dan semuanya teruja untuk turun beraksi," katanya.
Bekas pemain import UiTM itu juga tanpa berselindung menganggap aksi bertemu Malaysia sebagai perlawanan yang sukar, namun sedia untuk memberikan tentangan kepada anak buah Pau Marti Vicente.
"Kami sudah pun buat persediaan untuk perlawanan ini. Kami perlu perbaiki aspek kelemahan dan belajar daripada pengajaran perlawanan terakhir.
"Perlawanan ini akan menjadi cukup sukar buat kami, semua pencabar kami adalah lawan handalan.
"Apa yang penting kami terus mengutip pengalaman dan bersedia untuk menghadapi kejohanan yang seterusnya," katanya.