Piala AMEC: Harimau Malaya kena berani ambil risiko -- Vicente
Shaiful Shamsudin
Disember 19, 2024 12:19 MYT
Disember 19, 2024 12:19 MYT
Jurulatih sementara Malaysia, Pau Marti Vicente, mengakui nasib Harimau Malaya terletak di tangan sendiri memandangkan mereka tiada jalan lagi melainkan kemenangan dalam perlawanan penutup Piala ASEAN Mitsubishi Electric (AMEC) 2024, malam esok.
Kedudukan anak buahnya dalam bahaya berikutan skuad Seberang Tambak itu hanya memerlukan keputusan seri di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk melolosi Kumpulan A tetapi Vicente menganggap perlawanan esok masih seimbang.
"Kami dalam situasi terpaksa bergantung kepada diri sendiri untuk layak ke separuh akhir. Kami berharap mendapat sokongan padu daripada peminat bagi mencapai sasran ke separuh akhir.
"Setiap perlawanan adalah berbeza, kecuali kemenangan Thailand ke atas Timor-Leste, semua keputusan lain adalah sengit.
"Singapura juga bergelut ketika berdepan Kemboja. Bahkan ketika menentang Thailand, perlawanan terbuka hingga wisel penamat.
"Perlawanan esok akan menjadi sengit juga. Apa yang mustahak adalah kemenangan. Singapura miliki kelebihan, berlebihan dua mata dan satu mata sahaja lagi sudah cukup untuk mereka layak," katanya dalam sidang media sebentar tadi.
Walaupun mengakui berdepan kekangan untuk memperkemaskan taktikal yang mahu diterapkannya, Vicente perlu meletakkan pertaruhan besar,.
Selepas prestasi ketika bertemu Thailand dilabel memberangsangkan, Vicente masih perlu mengambil kira aspek menyeluruh sebelum menyenaraikan barisan terbaiknya.
"Kami yang perlu ambil risiko, lancarkan asakan dan perlu menang.
"Sudah tentu bertemu mereka adalah sukar, mereka pernah kalahkan kami.
"(Kemenangan 4-1 ke atas Singapura) sudah dua tahun ia berlalu. Tapi ia juga boleh memberi keyakinan tapi persembahan aksi terakhir lebih menyuntik keyakinan saya, kepada kumpulan pemain ini.
"Lebih-lebih lagi kami akan beraksi di laman sendiri, ia akan memberi kelebihan buat kami.
"Sepatutnya kami mempunyai kelebihan (persiapan di tempat sendiri) tapi kehilangan beberapa pemain dalam tempoh ini. Hari ini mungkin barulah kami dapat mengadakan persiapan membabitkan semua pemain.
"Kami perlu pertimbangkan status pemain dan putuskan barisan yang terbaik untuk memberikan saingan selain pendekatan terhadap pemain ini," katanya.