Kebangkitan hebat Kuala Lumpur (KL) City ke atas pasukan yang dirudum masalah, Kedah Darul Aman, menyaksikan juara Piala Malaysia 2021 itu menempah tiket ke suku akhir Unifi Piala Malaysia musim ini.
Kebangkitan cemerlang itu semestinya meningkatkan motivasi dan semangat Declan Lambert yang dipilih untuk skuad kebangsaan kendalian ketua jurulatih, Pau Marti Vicente, dalam Piala AMEC pada 8 Disember hingga 5 Januari depan.
Walaupun sebelum ini dia dilaporkan berdepan masalah kecederaan, namun baginya itu bukan satu kekangan untuk beraksi bersama Harimau Malaya.
Begitupun, khidmatnya masih ditagih di peringkat kelab apabila KL City dijadual bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT), sekali gus
terlepas perlawanan pertama Piala AMEC bertemu Kemboja yang turut berlangsung pada Ahad ini.
"Saya teruja untuk menyertai skuad kebangsaan tapi hanya akan mula melaporkan diri selepas perlawanan bertemu JDT (Johor Darul Ta'zim).
"Kami sangat rapat sebagai pasukan dan saling membantu.
"Saya mahu turun sekerap mungkin dan bantu skuad negara capai kemenangan," katanya kepada wartawan Astro, Fatin Ruzaiman, menyingkap semangat juang skuad Warga Kota di Cheras malam tadi.
Dalam penampilan pertamanya, Declan pernah membantu skuad negara dengan menjaringkan gol menerusi penentuan sepakan penalti ketika menentang Thailand dalam perlawanan persahabatan pada September 2022.
Shaiful Shamsudin
Mon Dec 02 2024