BOLA SEPAK

Piala AFF: Thailand pamer aksi di kelas tersendiri, bangkit singkir Malaysia

Ammar Hakim 10/01/2023 | 14:29 MYT
Tamat perjalanan Harimau Malaya di pentas Piala AFF 2022 susulan tewas 3-0 kepada Thailand dalam aksi separuh akhir kedua dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Thammasat, sebentar tadi.
Perjuangan Malaysia ke Stadium Thammasat dengan bekalan satu gol dari Bukit Jalil disukarkan lagi dengan asakan bertali arus anak buah kendalian Alexandre Polking sejak awal permainan.
Gol pembukaan Thailand terhasil di babak pertama berpunca dari hantaran lintang pemain yang pernah beraksi di Liga J1, Theerathon Bunmathan, tepat ke arah Teerasil Dangda untuk menewaskan Syihan Hazmi pada minit ke-19.
Tandukan yang juga gol keenam Teerasil dalam kejohanan ini menjadikan kedudukan agregat 1-1 dan kedudukan itu menyaksikan permainan kelihatan sedikit terbuka dengan sentuhan pertama Malaysia diperolehi Darren Lok pada minit ke-36.
Separuh masa kedua dimulakan dengan tuan rumah menunjukkan kesungguhan dalam memburu tambahan gol dengan memperkuatkan bahagian hadapan menerusi kemasukan pemain import terbaru Terengganu FC, Adisak Kraisorn.
Dan ia ternyata berhasil apabila 10 minit kemudian, usaha menyerang membawa kepada kelonggaran kubu Malaysia sekaligus memberi ruang kepada rembatan kencang Bordin Phala.
Sayang buat Malaysia apabila peluang berharga diperoleh Faisal Halim yang berjaya menyaingi pertahanan Thailand pada minit ke-60 sedikit tersasar.
Manakala Thailand pula belum lagi mahu berpuas hati, mereka memastikan gol ketiga menerusi Adisak pada minit ke-71.
Kelebihan tiga gol kepada Thailand menyaksikan provokasi mula mewarnai permainan yang mengganggu rentak Malaysia namun Thailand tetap melancarkan serangan sehinggalah wisel penamat dibunyikan sekaligus memastikan kemenangan 3-1 secara agregat memihak Thailand.
Thailand bakal mempertahankan kejuaraan bertemu Vietnam dalam aksi final.
;