PIALA AFF
Piala AFF: Peluang terakhir pemain tambat hati Kim Pan-gon
Perlawanan persahabatan menentang Maldives di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur malam esok akan menjadi peluang terakhir buat pemain menambat hati ketua jurulatih skuad negara, Kim Pan-gon, untuk terpilih ke Piala AFF bulan ini.
Bagi Pan-gon, dia mahu melihat aksi terbaik dapat dipamerkan kesemua pemain selain elemen paling penting, mampu beradaptasi dengan taktikal yang mahu diterapkannya.
"Mereka perlu bersaing sesama sendiri sebelum kami membuat keputusan untuk senarai akhir nanti. Saya harap setiap pemain dapat memberikan aksi terbaik dan membuktikan mereka layak untuk beraksi dalam Piala AFF.
"Saya juga mahu lihat karakter mereka, sifat agresif serta kebijaksanaan di atas padang," katanya dalam sidang media sebelum perlawanan itu di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini.
Dalam pada itu, Pan-gon mengakui berdepan detik sukar untuk membentuk pasukan yang mampu memenuhi jangkaan peminat yang mahu skuad negara mendapat keputusan terbaik dalam kempen Piala AFF kali ini.
Bagaimanapun, dia yakin dan percaya kemampuan pemain barunya untuk mencuba memberikan aksi luar biasa sepanjang kempen berkenaan.
"Saat ini agak sukar kerana ramai pemain adalah pemain baru selain tidak banyak perlawanan bersama tetapi kami tetap fokus," tambahnya
Kredit: Sinar Harian