Piala AFF: Kim Pan-gon puji aksi pemain negara sekat asakan Myanmar
Muzaffar Musa
Disember 21, 2022 21:35 MYT
Disember 21, 2022 21:35 MYT
Ketua jurulatih skuad negara, Kim Pan-gon, memuji aksi pemainnya dalam menyekat asakan Myanmar sewaktu mencatatkan kemenangan 1-0 dalam perlawanan pertama Kumpulan B, Piala AFF di Stadium Thuwunna hari ini.
Malaysia menamatkan badi tanpa kemenangan di venue berkenaan menerusi jaringan tunggal Faisal Halim dalam babak kedua sambil penjaga gol, Syihan Hazmi Mohamed, menyelamatkan sepakan penalti lawan dalam waktu kecederaan.
Di sebalik kemenangan itu, Harimau Malaya kelihatan bergelut untuk mencatur pergerakan gara-gara penguasaan permainan dan aksi keras pemain lawan.
Bagaimanapun, Pan-gon memuji barisan pemainnya selepas berhasil membuka kempen kali ini dengan tiga mata di tempat lawan.
"Keadaan padang tidak sama, cuaca, waktu dan kesemua keadaan tidak memihak pemain kami," katanya dalam sidang media seperti yang dipetik Nadi Arena.
"Tetapi kami sedar dari awal bahawa ia akan menjadi amat sukar kerana tiada siapa mahu tewas di depan keluarga mereka.
"Jadi, kami sedar mereka akan bermain dengan kazaman tinggi tetapi pemain kami memberikan reaksi dengan amat baik.
"Saya fikir dariapada segi prestasi permainan, ia tidak terlalu cantik tetapi kami dapat mengawal situasi.
"Walaupun ia dibantu oleh nasib, saya perlu berterima kasih kepada pemain ini kerana dengan memulakan saingan di tempat lawan, sasaran kami adalah untuk mendapatkan tiga mata.
"Apapun, kami dapat mencapai sasaran itu, jadi kami akan pulang ke rumah dan bersedia untuk perlawanan seterusnya menentang Laos," katanya.