Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman, memaklumkan bahawa sasaran skuad negara dalam Kejohanan Piala AFF bulan depan hanya akan diumumkan ketua jurulatih, Kim Pan-gon, selepas dua aksi persahabatan terakhir.
Harimau Malaya dijadualkan untuk berdepan Kemboja pada pada 9 Disember ini sebelum bertemu Maldives berselang lima hari.
Tambahnya, senarai akhir 23 pemain yang akan dibawa ke kejohanan itu turut akan diumumkan pengendali dari Korea Selatan berkenaan selepas dua aksi tersebut.
Dalam satu temu bual Nadi Arena, Noor Azman berkata: "Sasaran untuk Piala AFF perlu ditunggu kerana kita masih mempunyai dua perlawanan (persahabatan).
"Ketua jurulatih akan mengumumkannya sebaik dia menyenarai pendek barisan pemain."
Malaysia akan memulakan kempen Piala AFF dengan bertemu Myanmar di Yangon pada 21 Disember ini sebelum mencongak perhitungan dengan Laos, Vietnam dan Singapura dalam saingan Kumpulan B.
Muzaffar Musa
Thu Nov 24 2022