PIALA AFF

Piala AFF: Harimau Malaya mantap cuma belum cukup padu

Sinar Harian 15/12/2022 | 08:37 MYT
Harimau Malaya disifatkan masih belum cukup padu biarpun melakar kemenangan bergaya 3-0 ke atas Maldives dalam perlawanan persahabatan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras malam tadi.
Bagaimanapun, ketua jurulatih skuad negara, Kim Pan-gon, tetap positif dengan persembahan setiap pemainnya sepanjang perlawanan berkenaan -- seminggu sebelum saingan Piala AFF 2022cmembuka tirai.
“Saya gembira dengan kemenangan kedua diraih pasukan kebangsaan dalam perlawanan persahabatan menentang Maldives kali ini. Perlawanan malam ini juga berintensiti tinggi kerana itu yang saya mahukan dan saya berpuas hati.
“Biarpun persembahan babak pertama agak bergelut, situasi itu dapat diatasi sepanjang separuh masa kedua. Mungkin bola sepak kita menuntut secara fizikal dan kadangkala pemain perlu lebih tepat dan tidak sepatutnya hilang penguasaan bola lebih awal.
“Intensiti pasukan agak berkurangan sedikit dalam perlawanan ini berbanding ketika mengatasi Kemboja sebelum ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu.
Dalam perlawanan itu, Pan-gon meneruskan eksperimennya apabila melakukan rombakan terhadap kesebelasan utama dengan hanya mengekalkan empat pemain ketika membelasah Kemboja 4-0 dalam aksi persahabatan pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Jumaat lalu.
Harimau Malaya berhasil merobek gawang Red Snappers kendalian Francesco Moriero menerusi jaringan Darren Lok pada minit ke-24, diikuti Faisal Halim (m-64) sebelum gol minit ke-88 pemain naturalisasi negara, Lee Tuck, yang dibawa masuk menggantikan Muhammad Safawi, melengkapkan kemenangan bergaya pasukan negara.
Kredit: Sinar Harian
#bola sepak #Kim Pan-gon #Piala AFF
;