Piala AFF: Faisal Halim tetap berbangga pencapaian Harimau Malaya
Ammar Hakim
Januari 10, 2023 22:53 MYT
Januari 10, 2023 22:53 MYT
Penyerang negara, Faisal Halim, akur dengan kemampuan pasukan Thailand apabila Malaysia tewas 3-0 dalam aksi separuh akhir kedua Piala AFF di Stadium Thammasat, sebentar tadi.
Kelebihan tipis satu jaringan yang diperoleh Malaysia ketika beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil ternyata tidak mencukupi untuk meneruskan kemaraan Harimau Malaya ke final apabila skuad Gajah Perang menampilkan permainan yang cukup sempurna dalam memastikan penyingkiran Malaysia.
Tiga jaringan yang dihasilkan oleh Teerasil Dangda, Bordin Phala dan Aditsak Kraisorn dalam perlawanan yang didominasi tuan rumah mematahkan setiap gerakan Malaysia.
Faisal bagaimanapun mengakui Thailand merupakan pasukan yang berada di tahap berbeza, namun tetap berbangga dengan pencapaian skuad negara yang dibentuk dalam tempoh yang singkat dan berjaya melangkah ke separuh akhir.
"Kami telah cuba mengatasi pasukan Thailand. Kami mengetahui ia satu tugas yang sukar untuk mengatasi Thailand di tempat lawan, ternyata mereka merupakan pasukan yang lebih baik dan Malaysia telah cuba sebaik mungkin dalam mendapatkan jaringan dalam perlawanan ini," kata Faisal.
"Sebagai pemain kami perlu mengatasi sebarang faktor yang boleh menjejaskan prestasi permainan. Saya enggan meletakkan sebarang kesalahan kepada mana-mana individu kerana kami perlu bertanggungjawab dengan kekalahan ini. Saya sangat berbangga dengan skuad yang telah dibentuk Kim Pan-gon bagi menghadapi saingan Piala AFF kali ini.
"Mara ke separuh akhir ini merupakan sesuatu yang di luar jangkaan. Namun inilah bola sepak. Kami perlu akur dengan kekalahan ini, lawan kami berada di tahap yang berbeza.
"Saya percaya ini bukanlah pasukan yang terbaik untuk dibawa ke Piala Asia namun jika skuad ini dapat dikekalkan untuk dua tiga tahun lagi, saya percaya kami mampu memperoleh sesuatu."