Skuad B-23 negara perlu mengambil serius perlawanan menentang Timor-Leste dalam aksi kedua Kumpulan B Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Stadium Rayong Provincial, Thailand esok.
Jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim, berkata biarpun atas kertas Malaysia mampu menewaskan lawan itu, namun sikap mengambil mudah terhadap pesaing boleh mengundang padah kepada pasukan.
“Setiap perlawanan perlu serius. Jangan pandang rendah pasukan lawan. Fizikal mereka juga baik untuk memberi saingan kepada skuad negara,” katanya.
Skuad Harimau Muda negara memulakan langkah kanan dalam kempen AFF kali ini setelah menundukkan pemenang pingat emas Sukan SEA Kemboja 2023, Indonesia 2-1 pada Jumaat lalu.
Dalam pada itu, Irfan Bakti juga percaya ketua jurulatih, E Elavarasan, mempunyai strategi ampuh dalam usaha meraih kemenangan kedua, sekali gus mara ke separuh akhir.
“Pemain beraksi baik dalam aksi pertama. Apa pun, mereka perlu bersiap sedia daripada aspek fizikal serta mental untuk perlawanan kedua nanti,” ujarnya.
Sementara itu, bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar pula melihat keyakinan skuad Harimau Muda kian meningkat setelah mengalahkan pasukan kuat seperti Indonesia sebelum ini.
Beliau berkata, Elavarasan sudah belajar daripada kesilapan pada Sukan SEA lalu apabila dapat membentuk pasukan yang mantap kali ini.
"Ela menunjukkan peningkatan yang baik. Berjaya beri keyakinan kepada skuad. Percaturan dalam latihan diterap dengan baik oleh pemain,” jelasnya.
Azlan turut mengingatkan skuad muda negara bahawa sebarang kemungkinan boleh berlaku dalam bola sepak termasuk elemen kejutan.
“Pemain Timor-Leste pasti akan beraksi dengan bersungguh-sungguh untuk memberi tentangan sengit kepada Malaysia yang dilabel sebagai pasukan kuat.
“Apapun berdasarkan kepada aksi pertama, Malaysia mampu menewaskan Timor-Leste,” katanya.
Jika berdasarkan rekod, tiada masalah buat skuad negara melepasi halangan tersebut kerana tidak pernah tewas kepada Timor-Leste sejak Sukan SEA 2009.
Kali terakhir Malaysia menentang Timor-Leste adalah pada Sukan SEA 2019 apabila skuad negara menang 4-0.
Kemenangan terbesar skuad negara adalah ketika membelasah Timor-Leste 11-0 pada Sukan SEA 2015 di Singapura.
Kredit: Sinar Harian
Sinar Harian
Mon Aug 21 2023