BOLA SEPAK

Piala AFF B-23: Maloney sambut baik dua ujian Laos

Shaiful Shamsudin 17/02/2022 | 13:48 MYT
Pengendali negara, Brad Maloney, menganggap anak buahnya sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan sulung Piala AFF B-23 di Kemboja, esok.
Keadaan terbaik pemain telah menerbitkan keyakinan buat jurulatih dari Australia itu biarpun perlawanan pertama dengan Myanmar, Selasa lalu, dibatalkan berikutan pasukan lawan menarik diri akibat COVID-19 sementara juara bertahan, Indonesia, turut memilih untuk tidak menghantar wakil kerana isu hampir sama.
"Semua di sini dalam keadaan baik, cergas dan sedia dipilih untuk diturunkan untuk perlawanan esok.
"Kami masih menunggu status Fahmi Daniel Zaaim dan Safwan Mazlan yang sedang menjalani kuarantin tetapi yang lain boleh diketengahkan," katanya.
Malaysia bakal berdepan Laos dalam dua pertemuan dengan aksi kedua berlangsung Isnin depan untuk menentukan juara kumpulan itu yang akan layak secara automatik ke separuh akhir.
"Ini satu langkah ini baik kerana kami ke sini untuk beraksi dan satu lagi perlawanan yang dijadualkan baik untuk pendedahan kami berbanding aksi hidup dan mati.
"Kami menjalani latihan pagi ini dan mencuba beberapa formasi.
"Saya masih perlu berbincang dengan barisan teknikal bagi menentukan kesebelasan esok," katanya.
Dalam masa sama, Maloney turut menerima perkembangan pusingan akhir Piala Asia B-23 di Uzbekistan, 1-19 Jun depan, apabila diundi dalam Kumpulan C bersama Korea, Selatan, Thailand dan Vietnam.
#Piala AFF B-23
;