BOLA SEPAK
Piala AFF B-23: Maloney kekal 27 pemain selepas seorang lagi positif COVID-19
Pasukan B-23 negara terus diduga sebelum sepak mula Piala AFF apabila seorang lagi pemain diuji positif COVID-19.
Selepas Fahmi Daniel Zaaim dan Safwan Mazlan dijangkiti pandemik itu, penggantinya pula, Shafi Azswad Sapari, turut mengalami nasib serupa sebaik sampai ke Kemboja semalam walaupun didapati bebas COVID-19 sebelum bertolak dari tanah air.
"Kami berdepan beberapa isu.
"Syafi tiba di Pnhom Penh semalam dan ujian calitannya di sini didapati positif jadi dia terus dibawa ke pusat kuarantin," kata pengendali negara, Brad Maloney, dalam Nadi Arena sebentar tadi.
Maloney bakal meneruskan percaturannya dengan 27 pemain apabila tidak bercadang memanggil sebarang pengganti lagi menjelang perlawanan bertemu Myanmar di Stadium Prince, esok.
Dalam masa sama, dia mengingatkan anak buahnya agar tidak terpedaya dengan permainan minda jurulatih lawan, Velizar Popov.
Bekas jurulatih Kelantan itu mendedahkan berdepan kepincangan tanpa barisan terbaiknya atas sebab tertentu.
"Dia seorang jurulatih pengalaman dan sudah lama di rantau ini. Myanmar adalah pilihan kumpulan ini.
"Dia memiliki 4-5 tonggak daripada skuad Piala AFF 2020 selain skuad 2019.
"Kami tidak 'semewah' mereka. Ramai pemain saya akan menempuhi pengalaman sulung kejohanan antarabangsa dan suasana sebegini.
"Myanmar merupakan pencabar terdekat kami di peringkat awal ini," katanya.
Sementara itu, Aiman Afif, sedia menggalas peranan lebih besar selepas dilantik sebagai ketua pasukan.
"Saya perlu memberi motivasi kepada rakan sepasukan sambil berkomunikasi dengan pemain dan jurulatih.
"Ini satu tanggungjawab yang besar," kata pemain tengah Kedah itu.