BOLA SEPAK
Piala AFF B-23: Krisis COVID-19, kecederaan sekat hasrat Indonesia pertahan kejuaraan
Indonesia terpaksa menarik diri daripada Piala AFF B-23 sebelum berlepas ke Kemboja berikutan krisis COVID-19 dan kecederaan.
Sehubungan itu, pasukan bimbingan Shin Tae-yong tersebut membatalkan hasrat untuk mempertahankan gelaran yang dimenangi pada 2019 itu selepas mengalahkan Thailand 2-1.
Menurut Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), tujuh pemain melibatkan Ronaldo Joybera R Junior, Muhammad Ferrari, Braif Fatari, Taufik Hidayat, Irfan Jauhari, Ahmad Figo Ramadhani, dan Cahya Supriyadi sementara seorang pegawai juga didapati positif dalam ujian calitan terakhir.
Empat pemain yang merupakan teman sebilik mereka iaitu Alfeandra Dewangga, Genta Alparedo, Muhammad Kanu Helmiawan, dan Marcelino Ferdinan pula perlu menjalani kuarantin.
Semifinalis Piala AFF 2020 itu turut bertambah pincang apabila tiga pemain dilanda kecederaan ketika tugasan bersama kelab masing-masing dalam saingan Liga 1 Indonesia iaitu Gunansar Mandowen, Ramai Rumakiek, dan Muhammad Iqbal.
Dengan ketiadaan Cahya, Muhammad Riyandi menjadi penjaga gol tunggal pasukan berkenaan dan situasi itu memaksa Tae-yong sendiri yang memohon untuk membatalkan penyertaan mereka dalam Kumpulan B yang turut dihuni Malaysia, Myanmar dan Laos itu.
Skuad Malaysia kendalian Brad Maloney itu sepatutnya berdepan mereka di Stadium Nasional Mordok Techo pada 21 Februari ini.
“Dengan penuh kekesalan, kami harus membatalkan penyertaan Indonesia dalam Piala AFF B-23 kerana alasan di atas.
“Kami meminta maaf kepada semua pihak kerana situasi ini di luar kawalan kami. Saat ini kami fokus untuk pemain yang dijangkiti COVID-19 sembuh dan yang mengalami kecederaan," kata Setiausaha Agung PSSI, Yunus Nusi, dalam laman sesawang organisasi itu.