BOLA SEPAK
Piala AFF B-19: Skuad negara mula kempen dengan rentak kemenangan
MALAYSIA 2 KEMBOJA 1
Sedar status Kemboja yang masih segar dengan kemenangan tipis 1-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan B, berdepan Singapura, Ahad lalu, skuad Piala AFF B-19 negara enggan perkara itu menjadi penghalang untuk mereka langkah kanan 2-1 dalam kempen di Jakarta, petang tadi.
Berbekalkan dua perlawanan persahabatan sebagai persiapan terakhir, momentum positif yang dilakar skuad kendalian Hassan Sazali Waras itu berhasil apabila Harimau Muda negara memperoleh jaringan awal hasil ledakan penyerang, Najmuddin Akmal Kamal Akmal, yang pantas menyelinap masuk kerapuhan benteng lawan.
Iklan
Berselang 17 minit kemudian, giliran Haiqal Hakeemi Hairi pula bijak menolak masuk jaringan kedua negara untuk mereka makin selesa mendahului 2-0.
Tatkala kem negara berusaha menambah jaringan, Kemboja merapatkan jurang hasil ledakan Chanbivol Davit tetapi kelebihan tipis itu kekal memihak Malaysia hingga wisel penamat.
"Keseluruhannya, saya berputus hati dengan persembahan hari ini.
"Mungkin daripada segi perlawanan, kami tidak dapat capai apa yang dirancangkan.
"Mungkin dalam perlawanan pertama dalam kejohanan, mungkin masih mencari rentak dan menyesuaikan diri dengan keadaan di sini.
"Apa pun saya bangga dengan apa yang dilakukan pemain pada hari ini.
"Cuma sedikit kesilapan mendatangkan tekanan kepada pemain negara terutama dalam separuh masa kedua," kata Hassan Sazali.
Ujian lebih getir buat barisan muda negara selepas ini apabila berdepan Singapura pada petang Khamis ini sebelum bertemu Timor-Leste, tiga hari kemudian dan Laos (11 Julai).
Must-Watch Video