Piala AFF B-23: Pemain perlu bijak ambil peluang, kata Kim Swee

Shaiful Shamsudin
Februari 6, 2022 00:09 MYT
Bekas pengendali skuad B-23, Datuk Ong Kim Swee, bersimpati dengan nasib rakan sejawatannya, Brad Maloney, yang berdepan kekangan untuk menghadapi Kejohanan Piala AFF B-23 di Kemboja yang bermula 14 Februari depan.
Situasi kali ini mungkin tidak menyebelahi Maloney, namun jurulatih kelahiran Australia itu tetap optimis dengan peluang Malaysia untuk menyerlah selepas memastikan kejayaan dalam kelayakan Piala Asia B-23 di Tajikistan, Oktober lalu.
Kim Swee percaya pemain perlu bijak menggunakan peluang yang ada, apatah lagi tanpa kelibat pemain utama agar tidak mengulangi pengalaman buruk seperti yang ditempuhi skuad senior kendalian Tan Cheng Hoe, Disember lalu.
"Maloney tidak dapat menyenaraikan pemain utamanya dan bagi saya ini amat menyedihkan.
"Apabila sebuah pasukan ingin dibentuk tetapi beberapa pemain tidak dapat diturunkan. Ini akan menjejaskan kualiti persiapan.
"Namun, saya percaya pemain yang dipanggil ingin buktikan (keupayaan)," katanya di Nadi Weekend sebentar tadi.
Sementara itu, pertahanan B-23, Shivan Pillay Asokan, juga bersikap positif walaupun pasukannya tidak dapat mengadakan persiapan rapi bagi menghadapi cabaran Indonesia, Myanmar dan Laos di peringkat Kumpulan B.
"Semua pemain sudah biasa dengan taktikal Maloney.
"Selepas dua tahun dipanggil menyertai skuad ini, saya harap dapat bermain dan mencapai keputusan yang bagus.
"Persaingan (merebut tempat) ada, saya harap dapat berikan yang terbaik," katanya pula.
Malaysia akan membuka kempen bertemu Myanmar di Stadium Prince, Phnom Penh, 15 Februari depan.
Selepas menyaksikan Sabah seri 1-1 dengan skuad B-23 negara di Stadium Likas, malam tadi, Kim Swee mengakui masih banyak kerja rumah yang perlu dilakukan anak buahnya.
"(Dengan dibarisi) hampir keseluruhan, lebih 50 peratus pemain musim lalu termasuk pemain import baru, masih ada kelemahan terutama untuk mendapatkan kombinasi tertenru yang memerlukan sedikit masa.
"Apa yang positifnya ialah ia mengikut perancangan." katanya.
;