BOLA SEPAK
Piala AFF 2020: Safawi anggap peluang seimbang jumpa Vietnam, Indonesia
Safawi Rasid menegaskan kepentingan percaturan Tan Cheng Hoe apabila membuat perhitungan dengan Vietnam dan Indonesia dalam baki perlawanan Kumpulan B, Piala AFF 2020, selepas ini.
Selepas membuka kempen dengan kemenangan berturut-turut apabila menundukkan Kemboja 3-1 disusuli kejayaan 4-0 ke atas Laos di Stadium Bishan, sebentar tadi, Safawi menganggap setiap pasukan mempunyai keupayaan tersendiri.
Aksi dengan Vietnam (Ahad ini) dan Indonesia (19 Disember) dianggap ujian sebenar buat Harimau Malaya bagi mencapai sasaran ke final.
Iklan
"Pada saya mana-mana pasukan termasuk Vietnam, Indonesia dan Laos sama sahaja. Kami mampu buat sesuatu, dapatkan keputusan yang baik asalkan mengikut arahan jurulatih," katanya yang melakar hatrik pertama buat skuad kebangsaan.
Dia juga berterima kasih kepada rakan sepasukan yang membantunya mencetak hatrik tetapi paling utama ialah mereka saling mempamerkan semangat juang yang tinggi untuk mencapai kemenangan.
Jurulatih kebangsaan, Cheng Hoe, pula tidak memberi tumpuan khusus kepada permainan individu apabila diajukan soalan mengenai kelibat Safawi yang kembali kepada prestasi sebenarnya.
"Saya tidak fokus kepada individu, kami fokus kepada semangat berpasukan. Barisan pemain beraksi dengan baik (hari ini), saya harap mereka dapat kekalkan prestasi.
"Saya perlu beri tumpuan kepada persiapan selama dua hari selepas ini untuk menghadapi Vietnam," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Must-Watch Video